A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Friday, December 31, 2010

Tulisan Terakhir



Bunyi macam dah tak nak menulis lagi pulak..

Sebenarnya ini adalah tulisan terakhir untuk 2010. 2011 is coming!

Saya akan terus menulis di blog ini selagi ada upaya. Saya sayang blog saya. Blog ini menjadi tempat untuk saya memperbaiki kemahiran menulis dan bercerita. Kerapkali sebagai tempat meluahkan apa yang terbuku di hati. Kalau ada yang tidak suka blog taupun merasakan ianya medium untuk menyebarkan fitnah dan sebagainya, itu terpulanglah atas diri dan prinsip masing2.

2010 bakal berlalu meninggalkan kita. Tahun baru akan menjelang sekejap saja lagi. Bertambah lagi masa yang dipinjamkan untuk kita. 2010 meninggalkan banyak warna2 perasaan - yang pahit, manis, kecewa, gembira dan macam2 kenangan dalam kehidupan saya. Itulah yang dinamakan kehidupan-penuh dengan kejutan dan pengajaran.

Tidak kisahlah sama ada 2010 adalah tahun kejatuhan atau kegemilangan untuk kita, apa yang penting kita bersyukur dan redha dengan apa jua ketentuan takdir kita.

Semoga 2011 menjadikan saya individu yang lebih baik.


Tak sabar nak tengok my lil prince Danish sekolah tahun 2011 ni...:)


Gambar ihsan: manilyntingcang.com

Friday, December 24, 2010

Hari ini 24122010

Hari ini....

Danish is ready for school!

Hari ini saya bawa Danish mendaftar di Sekolah Tadika Agama Ar-Raudhoh, Segamat. Nampaknya Danish ok bila ditanya oleh ustazah Nas dan bersemangat untuk ke sekolah. Mula2 dia macam tak faham 'ustazah' tu apa sebab biasanya saya akan sebut 'teacher'. Kelakar tengok muka dia blur dengar perkataan 'ustazah'..hehehe..
Kelengkapan persekolahan semuanya saya dah selesaikan awal2 kerana hujung2 bulan ini saya akan sibuk dengan pendaftaran pelajar baru UiTM.
Harapan saya Danish akan terus bersekolah dan tidak mogok seperti sebelum ini. Mulai 03 Januari nanti, Danish akan rutin baru and school, homework and teacher will be in his diary..InsyaAllah...

Hari ini...

Merupakan hari lahir Ijam. Dia sepatutnya menyambut hari lahir yang ke-32. Kenangan kami bersama kembali segar dalam kotak ingatan saya. Deep in my heart, I miss him a lot!
Pagi ini satu sms saya terima - "Jaja, hari ini kami celebrate ulangtahun Maybank yang ke-50 dan salah satu acaranya adalah bacaan Yaasin untuk Ijam. Hari ini sepatutnya ulang tahun Ijam". Sms dari Abang Amin, sahabat Ijam yang rapat, yang banyak membantu kami dulu sehingga kini. Sms itu saya terima ketika dalam perjalanan ke pejabat dan secara tiba2 saya rasa tersentuh sangat dengan isi kandungannya. Saya sangat2 tersentuh dengan ingatan dan kasih sayang kawan2 Ijam padanya. Mereka adalah kawan2 yang baik dan sentiasa menyokong dan membantu kami. Perjalanan saya ke pejabat pagi ini bertemankan air mata dan sendu yang panjang. Rindu saya semakin sarat!


Hari ini...

2 orang rakan saya menamatkan zaman bujang masing2. Mohd Zul-Azmi Ishak dan Shaiful Anuar Sabu masing2 memilih tarikh ini untuk melangsungkan majlis pernikahan mereka. Saya doakan kebahagiaan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat. Semoga rumahtangga mereka dilimpahi dengan keberkatan dan keredhaan Allah...InsyaAllah...
Perkahwinan itu satu anugerah indah dari Allah. Hargai dan peliharalah ia sebaik mungkin.

Hari ini...

Ibu kepada sahabat saya yang pernah saya tulis di sini dahulu meninggal dunia setelah hampir 3 minggu koma. Masanya telah tiba. Kembaranya di bumi ini telah sampai ke penghujungnya. Kepada sahabat saya Fiza, redhalah dengan ketentuan ini, berlapang dadalah dengan ujian Allah. Saya doakan ibu beliau beroleh kesejahteraan di sana. Al-Fatihah!

Wednesday, December 22, 2010

Bukan Yang Terbaik

Ada ketikanya apa yang kita mahu dan inginkan tidak kesampaian. Yang berlaku bukan seperti apa yang diharapkan. Bila ini berlaku, akan timbul rasa kecewa, hampa dan duka. Persoalan demi persoalan dengan awalan kenapa...kenapa dan kenapa akan terus bermain-main difikiran hingga menyesakkan dada.

Hati dan keinginan berharap agar apa yang diimpikan menjadi nyata. Mengharapkan takdir yang lebih baik dan apa yang menyakitkan itu tidak berlaku. Namun itu cuma harapan sahaja.

Apa yang telah ditentukan untuk kita adalah yang terbaik selaras dengan batas kemampuan kita. Mungkin apa yang diingin dan dihajatkan tidak atau belum dimakbulkan kerana sebab yang tidak terjangkau dek akal manusia yang sangat singkat. Mungkin jika kemahuan itu termakbul, kita akan kufur dengan nikmatNya atau mungkin juga Allah mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita.

Aduhai hati...redhalah dengan apa juga ketetapanNya. Semuanya yang tidak menjadi milik dan hak kita telah ditentukan olehNya dan yang pasti ianya bukan yang terbaik untuk kita. Yakinlah dengan kasih sayang Allah.

Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana.


Monday, December 20, 2010

Mereka Yang Ikhlas...

4 hari 3 malam saya akan berada di Sepang, lebih tepat di Pan Pacific KLIA menghadiri konferensi antarabangsa pentadbir universiti. Danish pun terpaksa ambil pakej 4H3M di rumah Mak Yah (babysitter..)hehehe..

Saya benar2 terhutang budi pada babysitter yang sangat bertolak ansur dan tidak kisah bila Danish terpaksa bermalam di sana. Saya tiada pilihan lain sebab Danish tak mahu tinggal di kampung (Pontian). Semenjak Danish berusia 2 bulan lagi dia akan tinggal di sana bila saya perlu outstation.

Susah sebenarnya untuk mencari golongan yang ikhlas dan bertimbang rasa juga tidak berkira seperti mereka terutamanya dalam zaman yang mementingkan material sekarang ini. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan mereka yang kini saya anggap sebagai keluarga sementelah saya hanya pendatang di bumi Segamat ini.

Semoga Mak Yah sekeluarga dirahmati Allah selalu dan diberikan keberkatan atas kebaikan mereka pada saya dan Danish.

InsyAllah...

Wednesday, December 15, 2010

Selera BESAR Si KECIL



1 set roti bakar, 1 set black pepper chicken chop dan 2 gelas jus tembikai.

Kalau dilihat dari senarai menu tu, mestilah orang fikir itu hidangan untuk saya. Sesuai dengan saiz...:) Itu sebenarnya makanan yang Danish makan malam ni..macam tak percaya je bila dia boleh habiskan chicken chop+2 keping roti bakar+2 gelas jus tembikai dengan selamba..
Besar sungguh selera Danish tak padan dengan saiznya yang melidi. Mungkin hujan lebat membuatkan dia extremely lapar kot. Kalau macam ni punya selera memanglah dia akan 'membesar' dengan jayanya.

Selera Danish takde kena mengena dengan selera Mama dia tau. Pepatah like mother like son tidak terpakai dalam situasi ini...hehehehe..


Wednesday, December 8, 2010

Kalau Dah Namanya LELAKI...

Dah banyak kali Danish request nak pergi tengok movie cerita Rapunzel yang sekarang ni tengah sibuk dipromosi. Setiap kali dia nampak gambar cerita tu kat newspaper dia akan request untuk tengok wayang. Dia panggil Rapunzel - perempuan cantik rambut panjang.

Bila saya tak bagi respon apa2, dia mula bising2 dengan ayat standard.."mama tak sayang adik ke?"...ayat wayang dia...

Bila saya tanya kenapa nak tengok cerita tu, bukannya faham pun apa yang dia cakap. Cerita tu bahasa Inggeris. Jawapan dia - "adik memang suka tengok cerita tu sebab perempuan tu cantik. Adik suka perempuan2 cantik. Tak faham pun boleh pergi tengok juga. Adik suka perempuan yang ada rambut panjang2..."

Hmmm...Danish memang anak bapak. Dah nampak sifat seorang lelaki walaupun belum lama menjengah dunia. Memang dah sifat lelaki-suka kepada sesuatu yang cantik, terutamanya perempuan. Tak kiralah umur berapa pun, kalau dah namanya lelaki, sifatnya tetap serupa. Tetapi saya lega kerana Danish mempunyai sifat2 lelaki sejati..kalau dia tak minat dengan perempuan lagi haru dibuatnya..:)


Tuesday, December 7, 2010

Baik Punya Offer

Cuti Awal Muharram saya gunakan sepenuhnya untuk mengemas rumah. Rumah takdelah berselerak tapi kurang kemas je..(statement cover line..). Awal pagi saya mulakan dengan membersihkan dapur, menyapu seluruh rumah dan seterusnya mengemop lantai. Penat juga bila sekali-sekali all out macam ni. Mesti lemak2 dalam badan saya menjerit2 tak mahu disingkirkan..:). Danish pun beri kerjasama yang baik sepanjang saya 'berperang'.

Saya berhenti sekejap untuk sediakan breakfast dan menyambung mencuci bilik air dan tandas. Sedang saya memberus lantai bilik air, Danish muncul depan pintu dan seperti biasa, ada saja yang dia ingin cakapkan.

" Oh...ini kerja Mama ya..dari tadi lama sangat tak keluar-keluar pun.."

"Kenapa? ada masalah ke??"

"Bukan ke Mama ni kerja ofis kat UiTM..apasal pulak cuci toilet...
Ha..Mama, kena pilih nak work apa. Tak boleh ada two ..one aje....
Mama nak work uitm ke nak work cuci toilet.."

Hahaha...tawaran Danish buat saya ketawa besar... Apa punya offer la...

Monday, December 6, 2010


Salam Maal Hijrah buat semua.

Tahun baru datang lagi. Bertambah setahun lagi jumlah tahun yang Allah pinjamkan pada kita semua. Hujan lebat sejak petang tadi membuka tirai tahun baru 1432H. Tidak kira sama ada hujan ke panas semuanya rahmat dariNya.

Semoga tahun baru ini membawa seribu kebaikan dan kebahagiaan buat kita semua. Semoga kasih sayang Allah dan rahmatNya sentiasa bersama kita.
Amin...

Sunday, December 5, 2010

Tidak Diperlukan

Pernah rasa diri tak diperlukan? Ini bukan soal 'over sensitive' ataupun kurang matang.

Mesej itu boleh disampaikan melalui perbuatan dan perkataan seseorang. Fikir dan renungkan maksud disebalik perbuatan dan tutur katanya dan kita akan boleh faham sama ada kita masih diperlukan atau tidak. Bila ada mesej yang sebegitu, adalah lebih baik untuk kita keluar dari sisi hidup individu tersebut. Jangan memaksa dan terpaksa sedangkan tutur kata dan perbuatannya jelas menunjukkan maksud yang tersirat.

Perlu ada harga diri walaupun keputusan yang dibuat akan mematahkan hati dan perasaan sendiri.

Berundurlah dengan cara yang terhormat. Tanpa dendam mahupun sengketa.

Tuesday, November 30, 2010

Di Luar Dugaan

Banyak perkara yang berlaku tanpa diduga. Ada ketikanya apa yang berlaku bukan kemahuan kita dan tidak dirancang sama sekali. Namun apa yang berlaku dalam hidup kita ada hikmah yang tersendiri. Terpulang kepada diri sendiri untuk mengkaji dan menilai kebaikan dan hikmah di sebalik setiap kejadian dalam kehidupan kita.


Ibu kawan saya kini terlantar di ICU Hospital Alor Setar. Beliau pada awalnya hanya demam panas. Tiada selera makan menyebabkan beliau mengalami dehidrasi yang serius dan menyebabkan masalah kepada beberapa organ dalaman. Beliau kini terlantar dalam keadaan koma selepas menjalani pembedahan pada hari Sabtu yang lalu.

Rakan saya menyatakan dia tidak menyangka yang ibunya akan terlantar begitu. Ibunya masih sedar dan boleh bercakap sebelum pembedahan dijalankan. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku pada ibunya kerana semuanya berlaku dengan pantas. Dia merasakan semuanya bagaikan mimpi. Kini ibunya kritikal dengan pernafasan dibantu oleh alat sokongan.

Memang bukan mudah menerima sesuatu yang bukan pilihan kita. Saya juga pernah dilanda rasa bersalah, menyesal dan macam2 rasa lagi bila Ijam koma selepas pembedahan yang kononnya kurang berisiko. Selalu sangat ada kata2 "kalaulah Ijam tidak dibedah...." bermain dalam kepala saya. Situasi yang sama yang sedang dilalui oleh rakan saya sekarang.
Pada ketika itu, Allah berikan saya ilham. Berdoa dan berserah sepenuhnya dan redha dengan apa juga ketentuanNya. Saya mohon yang terbaik untuk Ijam kerana hanya Dia yang mengetahui segalanya. Doa2 yang konsisten dan ikhlas dapat meredakan keresahan jiwa yang saya tanggung sehinggakan saya redha dan pasrah dengan ikhlas bila sampai saatnya Ijam pergi tak akan kembali. Satu kekuatan yang datang bila kita yakin dan berserah sepenuhnya pada DIA yang Maha Agung.

Kepada sahabat saya, berdoalah kepadaNya kerana kita akan sentiasa ada DIA tidak kira dalam apa situasi pun. Kasih sayang DIA sangat luas untuk kita. Semoga sahabat saya redha dan sabar dengan dugaan ini.

Friday, November 26, 2010

Hujan=Demam

Balik dari klinik bawa Danish yang demam.

Semalam Danish dah mula batuk dan badannya mula panas. Mungkin kesan kami bermain hujan hari sebelumnya. Nafasnya juga berbunyi agak kuat dan dia sendiri boleh kata dalam dada dia ada anak kucing..:). Bila doktor tanya macam mana boleh demam, dengan muka selamba je dia jawab "Mama yang ajak main hujan, kan ma?". Sekali Danish dah pecah rahsia la pulak..

Tak sangka keseronokan kami mandi hujan menyebabkan Danish demam. Saya rasa bersalah bila tengok dia batuk kuat dengan badannya yang panas. Saya cuma nak dia rasa seronoknya mandi hujan-kenangan yang indah zaman kanak2. Tetapi lain pulak jadinya.

Lepas ni kita main hujan dalam bilik air jelah ye Danish.

Wednesday, November 24, 2010

Tinggal Kami Berdua


Kalau sebelum ini saya duduk bertiga dengan Aza (adik) yang belajar di sini, nampaknya sekarang hanya tinggal saya dan Danish berdua. Aza dah pindah ke JB untuk latihan praktiknya selama 5 bulan. Terasa lain bila biasanya bertiga kini hanya berdua.

Hampir 5 tahun juga dia di sini bersama saya -semenjak diploma hingga tamat degree. Aza banyak membantu saya menguruskan rumahtangga semenjak Ijam sakit hinggalah sekarang. Dia juga yang akan babysit Danish bila saya outstation. Membantu menguruskan rumah yang tidak terurus bila saya perlu bekerja dari subuh hingga ke senja. Sekarang ni saya perlu menguruskan semuanya sendiri especially Danish bila saya perlu outstation...

Suddenly I feel bad when I read her sms saying sorry and thanking me for everything. So touching..

People use to say - 2 is just nice..3 is crowded. But I just like the crowd coz it makes my day plus the more the merrier..

Tuesday, November 23, 2010

Camne nak kurus ni??

Selera makan saya semakin bertambah2 sekarang ni. Segala benda saya nampak macam sedap. Hish...risau dibuatnya. Berat yang turun selepas puasa dan demam teruk dulu nampaknya tak kekal lama. Dah terasa macam naik je badan ni tapi tak berani nak timbang berat. Takut tak boleh terima kenyataan kot...:)

Gym pun dah lama tak pegi. Jogging pun dah jarang2..memang betul2 manja dah ni. Bila tengok The Biggest Loser Asia, rasa bersemangat nak workout. Tapi lagi bersemangat ke Secret Recipe makan New York cheese cake...yummy!

Memang payah betul nak kawal nafsu makan ni. Terapi air kosong pun macam tak jalan. Minum air kosong banyak2 pun tak mampu tahan rasa nak mengunyah. Kerepek pisang yang sebelum ni saya tak pandang pun terasa macam menyelerakan pulak sekarang ni. Benda2 yang lain tak usah cakap la..memang nampak sedap sokmo.

Hmmm..nampaknya nak kena cari motif yang boleh buatkan saya turunkan berat badan ni..tapi apa ek??....

Camner nak kuruskan badan ni???...

Agak2 boleh dapat ke cutting mcm nih??

Monday, November 22, 2010

Cerita Hujung Minggu

Before they get wet....
Hujung minggu yang lepas, kami ke Melaka. Idea spontan bila mak kata nak turun ke Segamat sebelum ke Gemencheh untuk majlis Khatam Al-Quran Nabil pada hari Ahad.

Saya, Uji (adik) dari Puchong dan Kak Wa (kakak) sekeluarga dari Senawang berjanji untuk berjumpa di Malacca Wonderland. Hampir 4 jam berendam dalam air dengan cuaca panas yang menyengat menyebabkan kulit Danish merah macam udang kena bakar..hehehe..


Iman takut ngan clown..


Seksinya Iman...

Berendam sampai kembang..

Whoa...hohoooo

Friday, November 19, 2010

Basah Kuyup

Kebelakangan ini boleh dikatakan setiap petang hujan di Segamat. Hujan lebat lewat petang kadangkala membawa hingga ke malam.

Hari ini hujan lebat mencurah-curah bila saya menjemput Danish. On the way balik dia nak singgah di pasar malam. Beria-ia dia nak makan cup corn. Mulanya saya memang tak layan tapi bila dia bersungguh nak cup corn saya jadi tak sampai hati.

Dalam hujan yang mencurah dan sudah hampir senja saya redah juga ke gerai cup corn. Danish suka sangat bila berhujan. Payung yang kami gunakan masih tak mampu menampung hujan yang turun mencurah lebat. Payah juga nak berjual beli dalam keadaan macam tu. Mana nak pegang payung, nak hulur duit dan nak pegang si kecil yang asyik nak membasahkan diri dengan hujan.

Danish pulak saje2 je nak basah2kan badan dalam hujan. Dia sengaja berjalan dalam lopak2 air yang bertakung dan saya terpaksa mengejar untuk memayungkannya. Sudahnya saya kemana, payung kemana. Saya basah kuyup kerana nak payungkan si kecil tu. Bayangkan seorang wanita yang macam anggun dengan baju kurung Pahang dan kasut tumit tinggi tapi basah kuyup dari kepala ke hujung kaki. Susah sangat nak handle, saya tutup payung dan redah aje hujan yang lebat. Alang2 dah basah biar la kuyup. Ini semua gara2 cup corn Danish!

Tetapi sekali-sekala main hujan seronok juga..:)

Tuesday, November 16, 2010

Salam Aidiladha


Selamat Hari Raya Aidiladha

Sedikit maklumat tentang hari istimewa ini untuk dikongsi bersama.

"Hari Raya Aidiladha merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam seluruh dunia. Ia
adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri. Aidiladha disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha pada pagi 10 Zulhijjah. Ibadah korban boleh dilakukan sama ada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t."

Merenung dalam diri sendiri, saya terfikir mampukah saya berkorban dengan sepenuh hati dan semata2 kerana Allah. Berkorban perasaan, hati dan rasa dan mungkin juga harta bila sampai masanya. Kita boleh berkorban bila keadaan memaksa untuk melakukan sedemikin namun mencari keikhlasan dalam pengorbanan itu amat sukar.

Saya memohon kepadaNya setiap hari sekurang2nya 5 kali agar saya menjadi hamba yang bersyukur dan redha dengan apa jua takdir yang ditentukan untuk saya. Harapan saya bila sampai masanya untuk saya berkorban atas sesuatu perkara, saya akan mampu melakukan pengorbanan itu dengan ikhlas dan redha.

InsyaAllah...

Syukur Alhamdulillah

Finally, I able to retrieve my blog back!

Hampir 2 minggu saya 'kehilangan' blog saya ni. Ada kawan2 yang bertanya mana blog saya. Kenapa remove blog? Dah tak nak ada blog lagi ke?..macam2 andaian. Sebenarnya saya pun tak tahu kenapa tiba2 blog saya 'ghaib'.

Minggu lepas PC saya memang kena virus sampai semua data dah hilang. Tapi tak tau pulak sebab tu ke blog saya pun hilang. Saya dah berkira2 nak buat blog yang baru walaupun sayang sgt kat blog saya ni. Niat tu masih lagi terbantut dan semalam saya saja2 search blog address saya (rindu nk tengok blog sendiri...) dan semalam blog saya dah kembali..I'm so happy!

Now I'm back to write here again.

Syukur Alhamdulillah....

Thursday, November 4, 2010

Happy Diwali

Happy Diwali to all my Indian friends!

Wednesday, November 3, 2010

Banjir

Banjir mula melanda beberapa negeri di utara dan pantai timur Malaysia. Mungkin ada yang beranggapan ianya satu fenomena biasa di hujung tahun bila musim tengkujuh mula menjengah. Walau macam mana biasa pun fenomena itu, bila ianya berlaku ia akan tetap menjadi kenangan yang pahit untuk dikenang.

Banjir kali ini dikatakan lebih besar dari yang biasa dan paling buruk dalam sejarah. Ada kawasan yang tidak disangka2 turut dilanda banjir. Perkara yang sama pernah berlaku kepada masyarakat Segamat pada tahun 2006. Banjir besar yang tidak disangka2 menenggelamkan keseluruhan bandar Segamat. Pengalaman pertama dalam hidup saya berhadapan dengan suasana yang mencemaskan. Tiada bekalan air dan elektrik untuk tempoh lebih 48 jam. Syukur pada masa itu Ijam masih ada. Kalau dalam keadaan sekarang saya tak tahulah macam mana nak hadapi keadaan sebegitu.

Banjir ini perlu dilihat dalam aspek yang positif. Yang paling penting kita perlu bertawakal dan redha dengan ketentuan Allah. Apa jua yang diturunkan kepada kita adalah yang terbaik untuk diri kita. Ujian yang diberikan merupakan satu kaedah untuk kita kembali dan dekat kepadaNya. Kepayahan dan kesusahan yang dilalui dengan redha akan dianguerahkan dengan kebaikan dan kemanisan di penghujungnya.

Semoga saudara dan sahabat di Kedah, Kelantan dan lain2 negeri yang dilanda banjir bersabar dengan ujian ini.

Sunday, October 31, 2010

Bola


Semalam berlangsung Piala Malaysia dan Kelantan adalah juara Piala Malaysia edisi 2010. Gomo Kelate Gomo...

Saya ni bukanlah peminat fanatik bola sepak. Tambahan dulu Ijam pun tak minat bola jadi kami tak kisah pun piala apa yang berlangsung. Tetapi semalam saya terasa berminat pula nak tonton perlawanan itu. Saya mestilah sokong Kelantan sebab papa Danish orang Kelantan...:)

Saya teringat abah saya bila bercakap pasal bola. Dulu kalau ada perlawanan bola sepak, kami adik beradik akan resah di depan tv. Kalau boleh elakkan tukar2 siaran ke terutamanya TV1 (masa tu belum ada astro lagi) sebab selalunya perlawanan bola disiarkan di TV1. Kalau tertekan ke siaran itu dan kebetulan ada perlawanan bola sepak, memang 'penalti' lah jawabnya. Abah tak akan tukar ke siaran lain. Pujuk rayu macam mana pun tak jalan. Sudahnya kami terpaksa juga layan bola. Tengok juga tv walaupun dalam hati berbuku2 menahan marah. Tetapi lebih marah pada siapa yang telah gatal tangan pergi tukar2 siaran. Tak sanggup untuk tunggu perlawanan yang lama, selalunya kami akan masuk bilik tanda kalah dan orang yang gatal tangan tukar siaran akan diboikot.

Sekarang Abah berkuasa penuh untuk tengok perlawanan bola bila2 masa, tak kisahlah piala apa pun. Kami semua kini jauh untuk berebut siaran dengan Abah. Kadang2 rindu juga untuk berebut siaran tv macam dulu...:)




Friday, October 29, 2010

Masih Terasa

Dalam tazkirah pagi ini Prof ada memaklumkan tentang Pn Ayu-adik ipar beliau yang akan melalui satu pembedahan akibat dari kanser payudaranya yang telah merebak ke paru-paru dan jantung. Bila saya baca entri Prof-Doa buatmu Ayu, tiba2 saya terasa sebak.

Fikiran saya melayang pada satu peristiwa dalam hidup saya. Dapat saya rasakan perasaan yang pernah saya lalui dulu datang kembali. Ianya kenangan dan perasaan juga debaran yang saya lalui pada saat2 Ijam diusung ke dewan pembedahan kerana kansernya telah merebak ke usus dan menyebabkan beberapa komplikasi yang lain. Perasaan itu menyusup masuk ke hati dan dan visual kenangan terbayang2 di mata saya. Hati saya bergetar menahan rasa.

Kenangan itu datang lagi.

16 Mei 2009 @ 9.00 a.m - Pada waktu itu, Ijam ditolak masuk ke dewan bedah dengan ditemani saya seorang. Ketika itu masih pagi dan keluarganya masih belum tiba. Susah untuk saya gambarkan perasaan saya ketika itu. Doktor secara peribadi memaklumkan tentang peluang dan risiko yang ada pada saya. Ianya di luar pengetahuan Ijam. Saya tidak begitu setuju dengan pembedahan itu tetapi Ijam tetap mahu ianya dijalankan. Antara rela dan terpaksa saya hantar Ijam hingga ke pintu dewan bedah. Atas budi bicara doktor, saya dibenarkan menemani hingga ke atas katil pembedahan. Saya bersama dengannya sehinggalah dia tidak sedarkan diri kerana bius. Itulah saatnya interaksi terakhir antara saya dan Ijam. Saya melangkah keluar meninggalkannya dalam keterpaksaan dan air mata yang berjurai-jurai.

Selapas itu semuanya berubah. Tiada suara, senyuman mahupun pandangan matanya lagi. Yang tinggal hanya nafasnya yang turun naik dengan alat bantuan. Saya tidak menjangka begitu pengakhirannya. Tiada apa yang mampu saya buat kecuali berserah dan mengharapkan keajaiban berlaku. Pada waktu itu, saya berserah seratus peratus kepada Allah. Saya betul2 tak punya apa2 daya.


Lalu kini saya dapat memahami dan merasai situasi yang dilalui oleh Pn Ayu dan keluarganya sekarang. Saya doakan Pn Ayu diberikan kekuatan dan terus redha dengan apa yang ditentukan untuknya. Semoga beliau dan keluarganya terus tabah dengan ujian ini.


Saya doakan kesejahteraan mereka.

Thursday, October 28, 2010

Rasa Cemburu

Kenapa rasa cemburu?

Saya bukan orang yang mudah rasa cemburu. Sepanjang usia perkahwainan saya dengan Ijam, tidak pernah kami berselisih faham kerana cemburu. Saya tidak pernah berprasangka dengan Ijam atau cemburukan dia dengan wanita lain sehinggakan ada kawan saya yang berkata saya ni wanita abnormal..(iye ke???...) Kepercayaan saya pada dia mengatasi rasa cemburu. Saya tidak cemburu pada Ijam sebab tidak ada perlakuannya yang boleh menimbulkan rasa cemburu. Jadi, mengapa perlu rasa cemburu sedangkan ianya tidak perlu. Dalam keadan biasa, perempuan mestilah selalu cemburu dengan suaminya..barulah dipanggil normal agaknya.. Cemburu kan tandanya sayang...:)

Cemburu itu melemaskan dan saya tidak mahu orang yang saya sayang lemas dengan perangai dan sikap saya yang cemburu. Cemburu biarlah pada tempat dan masa yang betul..itu pendapat saya.

Tetapi sekarang rasa cemburu tu seolah-olah ada dalam diri saya. Saya pun tak tahu kenapa saya rasa macam ini. Mungkin rasa unsecure atas sesuatu perkara yang masih belum pasti ataupun sikap individu itu yang membuatkan saya tidak percayakannya dan seterusnya merasa curiga sehinggakan rasa cemburu itu timbul.

Kadang2 hati saya berprasangka yang bukan2 dan fikiran saya mula memikirkan yang entah apa-apa. Keadaan ini melemaskan saya. Saya cuba kawal cemburu itu tetapi ianya tetap ada. Saya rasa jiwa saya tak tenteram. Cemburu itu tetap hadir walaupun dalam keadaan yang terkawal. Saya bukan lagi seperti dulu - orang yang tanpa rasa cemburu. Saya kurang pasti dengan apa yang sedang berlaku dalam diri saya sekarang.

Susah rupanya hidup dengan rasa cemburu. Saya sedang cuba mengatasi rasa itu. Saya pun tak tahu kenapa la pulak saya dah ada rasa cemburu sekarang ni..

Kenapa eh??..

Tuesday, October 26, 2010

Bila Berjanji...


Selalu kan kita dengar orang kata "lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji".
Bermaksud, bila kita berjanji kita mesti tepati. Sebenarnya bukan mudah untuk menunaikan janji. Ada yang pandai berjanji tapi tak pandai pula nak tepati. Ada ketikanya kita berjanji hanya untuk melepaskan diri dari sesuatu keadaan atau situasi tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menunaikan janji itu. Lebih kepada janji2 manis, takpun kira lidah bercabang.. (betul ke perumpamaan ni..)

Saya letih dan penat berurusan dengan orang yang susah sangat menepati janji. Perkara yang dijanjikan tak tahu bila akan tertunai. Dari sehari ke sehari janji itu hanya tinggal janji. Entah bila akan bernoktah saya pun tak pasti.

Saya pula bukan orang yang suka mendesak atau bertanya banyak kali. Kalau selalu sangat bertanya nanti saya sendiri yang rasa malu walaupun hakikatnya saya berhak untuk bertanya. Saya lebih senang bertanya sekali dua dan selepas tu tengok apa progress. Tapi orang yang macam ni bila kita diam, dia pulak buat senyap. Sudahnya perkara yang sepatutnya selesai awal tertangguh dalam jangka waktu yang tidak munasabah.

Geram? Saya memang geram..tapi simpan je dalam hati. Saya akan cerita pada dia yang saya percaya. Jadi sape2 yang jadi tempat saya meluahkan rasa tu, tahan jelah ye....:)

Monday, October 25, 2010

Peperiksaan Dah Bermula


Peperiksaan Akhir bagi semester Julai-Nov 2010 bermula hari ini sehingga 14 Nov nanti. Staf BHEA dah mula sibuk dengan persiapan peperiksaan sejak lebih kurang 2 minggu yang lepas.

Semoga peperiksaan kali ini dapat kami uruskan dengan baik tanpa sebarang masalah. InsyaAllah...





Sunday, October 24, 2010

Today Was A Good Day!!


Bosan juga bila kita sentiasa berada dalam norma hidup biasa. Hidup dalam keadaan yang segalanya dirancang. Ada ketikanya kita perlu jugak mencuba sesuatu yang baru.

Sesekali buat kerja gila dan lari dari kebiasaan best jugak. Dah lama saya tak buat benda2 di luar jangka...buat keje gila...:) Masa study dulu selalu la buat kerja2 gila dan luar jangka. Bila dah bekerja ni saya agak skima dan jarang sangat buat sesuatu tanpa dirancang.

Hari ini saya buat sesuatu yang di luar jangka. Ianya tidak dirancang sama sekali. Walaupun lari dari perancangan tetapi ianya menyeronokkan.

Saya gembira dengan semua perkara yang saya lalui hari ini...bertambah satu lagi cerita dalam diari hidup saya and I would say that.....I really appreciate it!

Saturday, October 23, 2010

Best..best...best.....


Sesuatu yang tidak disangka berlaku hari ini. It's a surprise...Saya tidak berapa suka dengan surprises tapi kali ini saya suka dengan surprise yang dibuat. It makes my day and i feel so good.

Kadang2 best juga layan surprise ni kan..:)

Saya menghargai kejutan itu...hmmmm...


Friday, October 22, 2010

Lama-lama Saya Pun Suka



Saya menerima hadiah-CD Maher Zain beberapa bulan yang lepas. Lebih tepat, pada awal bulan Jun. Lagu-lagunya berunsurkan ketuhanan dan dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris. Saya dapati ianya biasa-biasa sahaja walaupun ada lagu2 yang sedap untuk didengar. Adalah lebih kurang 2 kali saya mendengarnya lepas tu ianya terletak elok di atas meja komputer di ofis.

Kebelakangan ini saya rasa ramai yang menyebut2 nama si penyanyi ini. Sana sini orang sibuk bercakap tentang album dan konsert Maher Zain. Danish pun dah pandai menyanyikan lagu InsyaAllah yang ada dalam album tersebut. Ini menyebabkan saya tergerak untuk mendengar balik cd tu.

Saya pasang cd itu sepanjang waktu kerja. Ianya berulang2 dari pagi hingga petang. Saya semakin suka dengan lagu2 dalam cd itu. Bila didengar banyak kali, lama2 ianya melekat di hati dan saya akui cd ini menarik untuk didengar. Rugi pulak rasanya tak dengar sebelum ini.

Kata pepatah, kalau tak kenal maka tak cinta. Dalam kes ini, saya dah dengar dan kini saya dah suka...:)

Awak...saya suka cd ini!

Wednesday, October 20, 2010

Hilang

Saya kehilangan handphone Nokia Ijam yang kini saya gunakan. Puas mencari dalam kereta dan handbag tapi tak jumpa. Memang sah hp tu hilang. Saya hanya perasaan pada petang Selasa selepas habis Program META-7 di Grand BlueWave JB. Seingat saya selasa pagi saya gunakan hp tu di tepi kolam renang dan terus checkout. Sama ada saya tercicir di kolam renang ke saya tak pasti. Saya tak boleh ingat kronologi yang memungkin saya tercicirkan hp tu dimana-mana. Pihak hotel pun dah maklumkan takde hp tu tercicir di bilik hotel...:(

Bukan rezeki saya hp tu. Tapi saya terkilan sangat sebab dalam hp tu banyak gambar2 kenangan terakhir saya dan Ijam. Paling saya sayang gambar Ijam sehari sebelum dia meninggal. Silapnya saya tak simpan gambar tu dalam laptop. Sudahnya, ia hilang macam tu aje. Memang tipislah harapan nak dapat balik hp tu. Saya pun tak tahu dah macam mana nak dapat balik hp tu.

Tapi Saya masih berharap dan berdoa agar Allah lembutkan hati orang yag mengambil tu untuk pulangkan balik. Allah berkuasa atas segalanya. Kalau tak pulangkan balik hp tu, pulangkan memory card tu je pun jadilah...

Saya betul2 berharap!




Friday, October 15, 2010

Kerana Masa??


Semalam saya berjaya khatam Al-Quran. Saya merasai sesuatu yang saya rasa 'suatu masa' dulu. Sesuatu perasaan yang saya rasa sewaktu pertama kali khatam.

Saya mengambil masa 13 bulan untuk khatam senaskah Al-Quran sedangkan suatu masa dulu saya boleh khatam 2 kali dalam 13 bulan. Suatu masa ketika saya masih belum pun 9 tahun. Masih anak kecil tetapi boleh taat mengaji setiap hari tanpa ada apa-apa bantahan. Tidak pernah merungut ataupun terpaksa. Teringat kawan2 yang sama2 belajar mengaji. Setiap hari selepas sekolah agama di sebelah petang kami akan terus mengaji di rumah Wak Arip sehingga waktu Asar. Wak Arip bukanlah guru mengaji yang menyenangkan. Rotan sebesar jari kelingking orang dewasa dengan panjangnya hampir semeter sentiasa dalam tangan. Dia akan melibas rotan di lantai rumah papannya setiap kali kami malas untuk membaca atau mengacau rakan2 yang lain. Libasan itu walaupun bukan atas tubuh kami cukup untuk membuatkan kami kecut perut. Kadang2 sampai menangis dibuatnya. Belum lagi beliau menjegilkan mata setiap kali kami tersalah tajwid atau sebutan huruf. Cepat2 saya tunduk memandang lantai. Pandangan matanya sangat menakutkan. Ada kalanya saya membaca Al-Quran dengan mata berpasir dek air mata...:)
Saya sungguh terhutang budi pada arwah. Beliau mengajar saya mengenal huruf pertama Muqaddam hingga saya khatam lebih dari 5 kali dalam umur belumpun mencapai 9 tahun.


Saya yang kini bukan lagi anak kecil dan boleh berfikir sendiri hanya mampu khatam setelah lebih setahun. Mungkin kerana tiada rotan atau jegilan mata dari Wak Arip. Juga kerana lalai dengan nikmat yang diberikan sehingga membaca Al-Quran dijadikan perkara sampingan dengan peruntukan masa yang sangat terhad.


Kalau dulu, dalam umur baru 7 tahun, jadual saya sangat padat. Ke sekolah kebangsaan seawal jam 7.00 pagi dengan berbasikal sejauh lebih 7km. Tamat sesi sekolah kebangsaan terus menyambung ke sekolah agama dari jam 2.00 hingga 3.30 petang. Kemudian terus mengaji hingga hampir ke pukul 5. Lepas tu boleh lagi sambung bermain 'rounders' ke belon acah dengan kawan2 sampailah azan Maghrib.


Kesibukan yang sama saya lalui sekarang. Sibuk dari pagi hingga ke petang. Kadang2 membawa sampai ke malam. Bezanya, dulu saya punya masa yang spesifik untuk membaca Al-Quran sedangkan sekarang slot membaca Al-Quran akan diselitkan hanya jika ada masa yang lapang.


Sesuatu yang perlu difikirkan dan diperbetulkan sementara saya masih diberi masa dan peluang olehNya.





Thursday, October 14, 2010

IID 2010 Special Edition

Saya dan rakan2-PM Ahmad Nawawi & Pn Rohani menyertai IID2010-SE di Shah Alam lanjutan daripada kemenangan Gold Award semasa IID Johor sebelum ini. Percubaan yang pertama. Sebelum ini saya pergi sebagai Urusetia pasukan UiTM Johor dan tahun ini sebagai peserta.

Sesi pameran kami pada hari Isnin. Seawal jam 12 tengahari ketiga2 juri telah selesai menilai produk kami. Alhamdulillah, komen yang diterima sangat positif. Kami tidak menaruh harapan tinggi untuk menang tetapi meyimpan impian agar satu hari nanti 'baby' kami akan digunapakai di seluruh sistem UiTM. InsyaAllah...

IID membuka ruang untuk saya secara peribadi keluar dari lingkungan kerja sebagai Penolong Pendaftar. Seronok juga bila sekali-sekala buat kerja yang bukan rutin. Walaupun ada ketikanya rasa macam tak mampu nak siapkan semua keperluan sebelum IID, tapi puas bila hasilnya nampak.
Terima kasih pada Ustaz Nawawi dan Pn Rohani yang telah bersama-sama menyiapkan segalanya walapun masing2 sibuk dengan kelas.
Looking forward to work with u again guys...



Ini booth kami yg da siap set-up (A149)

bersama 2 orang hakim yang datang menilai
Team mate -Hjh Rohani & PM Ustaz Nawawi






Wednesday, October 6, 2010

Alahai...

Permulaan hari saya pada hari ini agak kurang baik. Kereta tak boleh start pula pagi2 ni.. Masalah bateri ataupun plug...itu andaian saya sedangkan sebenarnya saya tak tau sangat pasal kereta. Masalah juga nak cari workshop awal2 pagi. Teringat pula ada satu bengkel kereta yang buka seawal jam7.30 pagi dan dekat pula dengan rumah. Tapi saya tak pasti buka ke workshop tu hari ini. Alhamdulillah workshop tu buka pada hari ini.

Mekanik datang ke rumah dan bila check, bateri kereta dah lemah. Memang tepat andaian saya. Saya terpaksa masuk ke pejabat lewat dan selesaikan urusan menukar bateri dulu. Pagi2 lagi dah melayang duit saya ke poket cina workshop. Memang rezeki pertama cina tu pada hari ini. Lebar senyuman cina tu bila duit saya bertukar tangan. Saya yang 'makan hati' sebab tukar bateri!

Monday, October 4, 2010

Kenangan PGN

Malam Pra-Graduan (PGN) malam yang paling ditunggu2 oleh pelajar semester akhir pengajian. Malam melaram untuk mereka terutamanya siswi. Saya amat jarang menghadiri program ini-rasanya baru kali kedua walaupun selalu menjadi AJK penganjur.
Bila program di waktu malam, anak dan suami menjadi isunya. Lagipun jarak yang jauh antara Melaka ke Segamat juga waktu lewat malam menyebabkan saya jarang menyertai program ini.


Untuk semester ini, PGN telah diadakan pada hujung minggu lepas. Selaku AJK Anugerah Pelajar saya terpaksa pergi juga. Memang melaram habis la anak2 dara UiTM Johor malam tu..macam2 fesyen digayakan mengikut tema 1 Malaysia. Hmmm..peluang yang datang sekali sebelum grad..Malam itu jadi malam 'kelepasan' untuk mereka bergaya sakan.


Teringat zaman saya study dulu. PGN malam yang ditunggu2. Dari awal semester lagi saya dan rakan2 sudah merancang baju apa yang akan dipakai untuk majlis PGN sedangkan kuliah pun belum mula lagi!...:) Persiapan untuk satu malam mengambil masa satu semester..tapi akhirnya kami tak dapat sertai PGN kerana ada test pada malam yang sama..Hancur harapan nak bergaya sakan. Sudahnya baju tu terperap di dalam almari dan kami PGN di dewan test...:(

Friday, September 24, 2010

BESAR bezanya...

Akal membezakan antara manusia dan haiwan sekaligus menjadikan manusia menjadi makhluk yang paling mulia dan terhormat. Kita akan mampu menggunakan akal dengan waras bila emosi kita stabil dan dalam keadaan biasa-biasa. Namun selalunya kita menjadi 'hilang akal' bila sedang marah, terhina dan tercabar. Dan dalam keadaan itu, kita boleh menjadi orang yang 'luar biasa'.

Ketika sedang marah, lidah dan mulut yang selalunya sopan dan manis akan menjadi terlalu lancang berbicara. Hilang terus pertimbangan dan adab sopan. Terhambur semua kata2 yang mungkin boleh memuaskan hati yang sedang marah. Tidak langsung memikirkan buruk baik dan perasaan orang yang dihambur.

Namun sebenarnya ketika sedang marahlah kita menjadi diri kita yang sebenar. Akhlak baik dan sifat terpuji terpadam hanya dengan satu perasaan marah yang tidak terkawal. Maka rupa dan akhlak sebenar kita terserlah ketika itu. Lihatlah rupa kita di cermin ketika sedang marah, dan kita akan sedar betapa buruknya rupa kita pada waktu itu!

Memang bukan mudah mengawal kemarahan kerana ketika sedang marah seluruh urat saraf kita diresapi dengan hasutan dan bisikan syaitan yang mahukan kita saling sakit menyakiti. Kita boleh menyakiti hati orang lain asalkan hati kita puas dengan marah yang dilepaskan tetapi sakitnya hati dan tergurisnya rasa orang yang dimarah itu akan kekal begitu. Luka itu mungkin boleh sembuh tetapi parutnya kekal - mungkin untuk selamanya.

Berfikir sebelum marah..bolehkah???....







Wednesday, September 15, 2010

Demam Lagi

Semalam saya mula kembali bekerja tetapi saya rasa tak berapa seronok. Kepala saya terasa berat dan badan saya rasa tak sedap. Hati pun rasa malas sangat nak bekerja. Mungkin keadaan kampus yang masih lengang menyebabkan saya rasa begitu. Menjelang tengahari sakit kepala saya semakin menjadi-jadi sehinggakan terasa macam ada batu besar di tengkuk saya. Saya rasa ofis saya sejuk sangat. Sendi-sendi pun terasa lenguh. Saya betul-betul tak larat.
Saya hanya berbaring sementara menunggu waktu berbuka. Saya berbuka dengan segelas air. Tekak saya tak mampu nak terima makanan. Terasa pahit benar. Saya saja check suhu badan. 38.3 darjah celcius-saya demam. Patutlah saya rasa tak sedap badan.

Demam lagi! Seingat saya lebih kurang 2 bulan lepas saya dah demam ni demam lagi. Seminggu sebelum raya saya selsema teruk. Kalau ikutkan sejarah hidup, saya agak payah untuk demam. Kadang-kadang dalam setahun tu saya tak demam langsung. Sekarang ni macam senang sangat sakit. Allah tarik sedikit nikmat kesihatan dari saya agar saya lebih menghargai nikmat yang diberikan. Benar kata orang - Ingat Sihat Sebelum Sakit...


Edisi Kompak..

SYAWAL PERTAMA

Hujan lebat mencurah-curah membuka tirai 1 syawal di Pontian. Hujan yang berterusan dari Subuh hingga hampir ke pukul 10 pagi menyebabkan saya lewat menziarahi pusara Ijam. Jam 12.00 tengahari baru saya dapat menziarahi pusaranya. Keadaan kawasan yang lembab, becak dan lengang membuatkan hati saya agak sayu tapi masih terkawal. Ada ketikanya terlayang juga fikiran saya dengan kenangan kami beraya bersama sebelum ini walaupun sudah 2 tahun saya beraya tanpa Ijam. Kenangan itu akan saya simpan sampai bila-bila.

Petangnya saya ke Kota Tinggi beraya ke rumah pakcik dan makcik Ijam. Mereka satu-satunya keluarga Ijam yang saya ada di bumi Johor. Mereka sekeluarga banyak membantu ketika kami susah dahulu. Jasa dan budi mereka menjaga Ijam dulu tak akan saya lupa sampai bila-bila. InsyaAllah selagi ada upaya saya akan tetap menziarahi mereka setiap kali Hari Raya.

Seorang rakan lama-Fairuz datang berziarah. Kali terakhir kami berjumpa adalah di majlis perkahwinan saya 5 tahun yang lepas. Seronok bercerita dari satu topik ke satu topik sampai tak sedar dah lewat malam. Teringat zaman persekolahan dulu..zaman anak dara sunti meningkat remaja..hehehe.

SYAWAL KEDUA

Rumah Abah kena serbu! Hampir sepanjang hari ini kami adik beradik menjadi penyambut tetamu dan pembuat air juga pencuci pinggan mangkuk sepenuh masa. Hari ini ramai sepupu datang bertandang dan kebetulan pula selepas satu, satu keluarga sepupu datang. Mereka datang secara beramai-ramai sehingga ada yang datang 9 biji kereta sekaligus..rumah Abah yang luas tu pun terasa sempit. Kak Long dan Kak Maz (kakak kedua) tak cukup tangan memasak. Suasana kat rumah tu dah macam pasar borong bila masing-masing bercerita. Hanya bila tiba waktu Asar keadaan terasa agak lega..dan kami pun turut menarik nafas lega!

SYAWAL KETIGA

Kami adik beradik bersiap awal untuk beraya. Kami kena keluar awal sebelum rumah kami kena serbu seperti hari sebelumnya. Hampir semua rumah di kampung tu adalah saudara mara saya tidak kiralah saudara dekat ataupun jauh. Jadi banyak rumah yang kami akan singgah. Seawal jam 9.00 pagi kami dan keluar beraya. Kami pulak serbu rumah orang...

SYAWAL KEEMPAT

Saya balik ke Segamat kerana akan mula bertugas pada hari Selasa. Terasa cepat benar masa berlalu bila tak sedar dah nak balik kerja. Danish tak nak balik sebab sepupu-sepupu dia masih ramai lagi di kampung. Mereka akan balik pada hari Selasa atau Rabu. Danish beri cadangan pada saya agar pindah aje kat kampung. Duduk dengan Atuk. Terang-terang la cadangan Danish ditolak. Hehehe.. Kami selamat tiba di Segamat jam 10.30 malam. Alhamdulillah..
Esok dah mula kerja dah...hmmmm...

Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya

Hari ini hari terakhir saya bekerja sebelum Aidilfitri. Esok InsyaAllah saya akan mula bercuti raya. Kampus pun sudah mula lengang semenjak awal minggu lagi. Dalam situasi begini, mood bekerja seakan merudum. Lagipun ramai kawan-kawan yang sudah pun bercuti raya.

Saya tidak bercuti lama. Cukuplah sehari sebelum dan sehari selepas raya. Bila ditambah dengan cuti Hari Raya kira lama jugalah di kampung. Perjalanan Segamat-Pontian hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam. Saya tidak perlukan cuti yang panjang kerana hujung minggu pun boleh balik.

Tahun ini tahun kedua saya mengambil cuti yang sangat minima. Kalau sebelum ini agak panjang juga bercuti raya terutamanya jika tiba giliran balik kampung mentua di Kelantan. Kadang-kadang terbit juga rasa rindu untuk balik kampung jauh-jauh macam dulu. Saya redha dan sedang menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Saya perlu kuat untuk melalui masa hadapan walaupun ada ketikanya kenangan lalu menyebabkan jiwa dan perasaan saya goyah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Semoga Aidilftri ini menjadikan kita lebih dekat kepadaNya, lebih mensyukuri nikmat-nikmatNya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN




Tuesday, September 7, 2010

"Ini semua salah mama"....

Hanya tinggal lebih kurang 2 hari sahaja lagi Aildilfiri akan menjelma. 2,3 hari kebelakangan ini bandar Segamat terasa menjadi sangat sibuk. Pasaraya sentiasa penuh sehinggakan nak mencari tempat letak kereta pun terpaksa berpusing banyak kali. Mungkin masih ada lagi persiapan raya yang belum selesai. Segamat ni jarang sangat sibuk kecuali musim-musim perayaan. Anak-anak yang di kota mungkin sudah mula balik ke kampung agaknya. Saya seboleh mungkin mengelak untuk keluar ke bandar sebab malas nak menempuh 'jam' di Segamat. Waktu-waktu macam ni barulah ada istilah 'jam' di Segamat. Itupun saya terasa lemas apatah lagi kalau setiap hari begitu..tak larat rasanya nak tempuh.

Menjelang hari raya ni Danish demam. Seluruh badan dan muka menjadi kemerah-merahan dan berbiji-biji kecil ditambah dengan gatal yang merata. Sepanjang hari dia menggaru badannya. Saya jangkakan dia terkena demam campak. Bila ke klinik doktor maklumkan Danish allergy tapi tak pasti pula allergy apa. Boleh jadi makanan, habuk, cuaca dan apa2 saja.


Kesian tengok muka Danish yang agak sembab dan merah. Tetapi kelakar pun ada tengok muka dia putih melepak bila saya sapu dengan ubat gatal dari klinik. Masa basah saya tak perasan pulak terlebih sapu. Bila dah kering jadi macam muka Aziz Satar dalam cerita Seniman Bujang Lapok la pulak...hehehe. Danish merajuk bila saya ketawakan muka dia. "Ini semua mama punya pasal la...memang salah mama semua ni..." dia merungut-rungut bila saya tunjukkan muka dia yang macam tepung gomak tu di cermin. Sorry la sayang..mama terlebih sapu la pulak...:)


Harap-harap Danish sembuh Hari Raya nanti.

Thursday, September 2, 2010

Beraya Di Mana??

Hari Raya semakin hampir. Ramai yang sudah mula bercuti minggu hadapan. Balik kampung sendiri atau kampung mentua - semuanya sudah dirancang seawal mungkin.

Saya terbaca satu kisah konflik rumahtangga di dalam sebuah majalah tempatan. Konflik berlaku disebabkan masalah menentukan giliran balik kampung untuk berhari raya.

Si suami meluahkan rasa kecewa dan tidak puashati kerana sudah 8 tahun tidak pernah balik beraya di rumah orang tuanya. Saban tahun si isteri akan meminta untuk beraya di kampungnya jika tidak, perang besar dan mogok akan dijalankan. Si suami terpaksa beralah dan ianya berlaku setiap tahun selama 8 tahun. Tahun lalu, beliau bertekad untuk beraya bersama keluarganya tidak kiralah sama ada isteriya bersetuju atau tidak. Konflik berterusan dan akhirnya berlaku perceraian.

Alahai...tidak berbaloi rasanya bercerai hanya kerana sebab yang remeh. Hari Raya yang cuma 2-3 hari menyebabkan masa depan yang jauh lebih panjang berantakan. Bila sudah bercerai-berai, banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan...masalah nafkah anak-anak, hak penjagaan dan macam2 lagi.

Saya terdetik di dalam hati kenapa isu yang remeh itu boleh menjadi punca perceraian. Ianya menggambarkan seolah-olah institusi kekeluargaan semakin goyah. Silap sikit sahaja pun boleh bercerai-berai.

Saya bersyukur kerana isu balik kampung siapa untuk berhari raya tidak pernah menjadi masalah besar antara saya dan Ijam. Kami mengikut sistem giliran kerana jarak yang jauh - Johor & Kelantan. Masing-masing faham giliran kampung mana pada tahun itu. Dan saya secara peribadi tidak kisah sangat di mana kami beraya yang paling penting saya beraya bersama dia. Bunyinya macam tidak logik tetapi itulah hakikatnya. Saya gembira beraya di mana pun asalkan bersama suami saya.

Hari Raya adalah hari untuk kita bergembira. Berbincang dan bermuafakatlah dalam mencapai keputusan yang terbaik untuk semua pihak. Apa yang penting semua orang bergembira di hari yang mulia.




Monday, August 30, 2010

Kurung Biru

Hari Raya akan tiba tidak berapa lama lagi. Lagu-lagu raya sudah mula rancak berkumandang di corong-corong radio. saya teringat pada sebuah lagu - Sepasang Kurung Biru. Lagu nyanyian Khairil Johari Johar ini adalah lagu kegemaran Ijam. Setiap kali tiba musim Hari Raya, dia akan menanti-nanti lagu ini dan kebiasannya lagu ini amat jarang sekali keluar radio. Jadi bila dia dengar je lagu ni, dia akan kuatkan suara radio sambil menyanyi penuh perasaan.

Setiap kali Hari Raya dia akan hadiahkan saya sepasang kurung biru. Itu wajib, tidak kiralah apa warna tema pakaian kami untuk tahun berkenaan. Apa yang pasti, sepasang kurung biru untuk saya mesti ada. Setiap kali saya bertanya kenapa asyik baju kurung biru, dia akan menjawab dengan gurauan - "Bila dengar lagu favourite dan tengok awak pakai baju kurung biru, baru saya rasa seronok nak raya". Dan biasanya saya akan menunjukkan reaksi tak percaya-mencebik bibir dan dalam hati akan berkata..kelentong je lebih!

Pernah juga saya protes dan meminta untuk warna lain. Jawapan dia mudah - "Pilihlah warna apa yang awak nak, tapi sepasang mesti warna biru". Dan akhirnya saya akan memilih dalam merajuk!
Awak jangan merajuk yang..mana tau suatu hari nanti awak jatuh kasih dengan semua baju kurung biru yang saya bagi..kata2 Ijam setiap kali saya merajuk selepas saya tewas dalam proses tawar-menawar untuk tidak membeli baju kurung biru.

Setahun yang lepas dan untuk seterusnya tiada lagi sepasang kurung biru untuk saya. Terasa rindu pula nak memilih baju kurung biru macam dulu. Rindu nak tawar-menawar untuk tak perlu beli baju biru dan rindu nak merajuk sebab sepasang kurung biru!

Memang betul apa yang Ijam pernah cakap dulu - sekarang saya rasa sayang sangat pada baju kurung biru yang dihadiahkan dulu.

Sepasang Kurung Biru
Oleh: Khairil Johari Johar
Tiada salam atau ucapan
Tiada pesan tanda ingatan
Susana penuh keriangan
Ku teringat pada seseorang oh...
Dihari yang berbahgia ini
Hatiku kosong dan sepi sekali
Betapa manis kenangan lalu
Menyambut raya bersama denganku oh...
Tiada bisikan lembut yang kudengar
Hanya suara azan sayup bergema
Masih kurasakan hangat tanganmu
Di pagi raya bersalam denganku
Tetamu datang tetamu pergi
Namun tak tiba orang ku nanti
Hanya sepasang kurung nan biru
Menjadi teman mengubat rinduku oh...

Friday, August 27, 2010

kecil tapi BESAR

Semalam jari hantu tangan kiri saya digigit semut. Saya tidak perasankan ia ada di situ bila saya sedang menolak pagar rumah. Semut itu mengggit jari saya dan melekap kejap sehingga sukar untuk saya tanggalkannya dari jari saya. Saya gunakan anak kunci rumah untuk menolaknya jatuh. Bekas gigitan semut itu memerah dan seolah2 ada darah beku. Mungkin semut itu terlalu marah atau mungkin terkejut sehinggakan kesan gigitannya begitu kuat. Rasa pedih, sakit dan gatal mula terasa.


Saya tidak ambil pusing sangat dengan rasa itu kerana berpendapat apalah sangat bisa semut yang saiznya hanya lebih kurang 2cm itu. Saya biarkan sahaja rasa sakit tu dengan harapan yang ianya akan surut sekejap lagi lagipun saya perlu bersiap untuk majlis Iftar dan majlis amal di Masjd As-Syakirin UiTMJ.


Ketika majlis sedang berlangsung saya rasakan jari saya semakin gatal dan mula terasa kebas. Jari saya sudah membengkak dan mula berwarna kemrah-merahan. Saya sapukan minyak gamat namun nampaknya tak berkesan. Mungkin dah terlewat waktunya.

Dan hari ini jari saya masih lagi membengkak, masih lagi merah dan gatal. Nampak tak cantik sungguh bila dibandingkan dengan jari-jari yang lainlain yang sihat. Hmm..hebat juga penangan semut kecil tu..


Bila direnungkan, ada pengajaran di sebalik kejadian ini:
(i) Ada sesetengah benda yang kita selalu pandang kecil. Pandang remeh akan kemampuan dan kebolehan yang ada pada benda itu. Dan yang lebih malang, Kadang-kadang kita tidak perasan langsung akan kewujudannya sebab benda itu kecil. Tetapi jangan disangka benda yang kecil itu lemah dan tidak berupaya. Benda yang kecil itu boleh jadi akan menyumbang untuk sesuatu yang sangat besar. Buktinya, semut yang kecil itu telah menyebabkan jari saya membengkak kembang semacam ...

(ii) Apa yang Allah jadikan itu adalah yang terindah dan terbaik untuk kita. Jari yang membengkak ini membuatkan saya menghargai jari saya yang sihat..:). Kita perlu belajar bersyukur.



Thursday, August 26, 2010

Syukur

Pertandingan rekacipta -Invention, Innovation & Design (IID) UiTMJ 2010 telah berlangsung selama 2 hari, semalam dan hari ini. Selain sebagai Sekretariat penganjur, saya membuat percubaan pertama sebagai peserta untuk kategori pentadbir.

Saya bersama 2 orang rakan pensyarah-PM Ahmad Nawawi & Pn Rohani berusaha semenjak lebih sebulan yang lalu untuk menghasilkan 'baby' sulung kami iaitu KIT PANDUAN PENSYARAH BARU. Memang agak lama juga masa yang kami ambil untuk menghasilkan kit ini memandangkan masing-masing terikat dengan tanggungjawab hakiki dan ini merupakan kerja yang perlu dibuat secara sambilan namun menuntut komitmen yang tinggi. Saya sendiri pada awalnya kurang yakin sama ada kit ini boleh disiapkan sebelum IID bermula. Jadual kerja dan rutin harian yang agak padat kebelakangan ini membuatkan saya agak kurang yakin untuk menyiapkannya. Syukur, dengan izin Allah kami berjaya juga menyiapkan kit itu seperti yang diharapkan.

Hari ini kit kami berjaya mendapat Anugerah Emas untuk kategori pentadbir. Sesuatu yang diluar jangkaan. Segala Puji Untukmu Ya Allah. Satu lagi nikmat kegembiraan untuk kami dariNya. Kepayahan serta kesulitan yang kami lalui lenyap serta-merta dan berganti dengan rasa gembira & puas yang tak terhingga.

Terima kasih saya yang tidak terhingga untuk rakan penulis - PM Ahmad Nawawi & Pn Rohani. Juga buat Shukri di unit korporat yang sangat2 membantu dari segi grafik & visual sehingga kit ini dapat dihasilkan. Semoga apa yang kita usahakan ini akan diterima sebagai amal kebaikan olehNya.

InsyaAllah kit ini akan memberi manfaat kepada yang memerlukan.

Inilah dia 'baby' kami....


Booth @ IID Johor 2010

Monday, August 23, 2010

R.A.H.S.I.A.


Tidak semua perkara boleh kita kongsi dengan orang sekeliling.

Ada ketikanya berdiam diri tentang perasaan dan rasa hati lebih baik bagi mengelakkan persepsi yang kurang enak. Boleh juga berlaku sikap berdiam diri dan berahsia ini menimbulkan spekulasi dan juga andaian-andaian yang negatif. Kita mungkin dikategorikan sebagai sombong, ego, pentingkan diri sendiri dan banyak lagi sikap2 yang tidak manis.

Mungkin juga akan ada yang terasa dan terluka dengan sikap berahsia ini. Individu yang terpenting dalam hidup akan merasakan bahawa dirinya tidak penting atau tidak dihargai atau si dia akan merasakan kita tidak bahagia dengannya sehinggakan tidak mahu berkongsi rasa. Itu boleh saja berlaku.

Pandangan dan penilaian setiap manusia adalah berbeza. Maka kita boleh punya alasan yang berbeza-beza untuk berahsia.

Secara jujur, saya agak perahsia orangnya terutama tentang hal-hal yang berkaitan dengan maruah dan reputasi. Lalu selalunya saya akan simpan sendiri apa yang ada di dalam hati. Tanpa saya sedar ada insan-insan yang merasa tersisih dengan sikap saya itu. Merasakan diri tidak penting dalam kehidupan saya. Tetapi, bukan itu hakikat sebenarnya. Saya tiada niat untuk membelakangkan sesiapapun terutamanya insan-insan terpenting dalam hidup saya. Cuma saya lebih selesa bila sesuatu rahsia itu kekal menjadi rahsia. Apa yang paling utama, dia tahu siapa dia dalam hidup saya.

Rahsia di hati hanya Allah yang tahu!



Wednesday, August 18, 2010

Rindu Seorang Ayah

Seorang ayah juga adalah seorang manusia biasa yang punya rasa rindu, cinta, kasih dan sayang. Tidak ada kurangnya kasih seorang ayah berbanding kasih si ibu, malah ada ketikanya kasih seorang ayah mengatasi kasih seorang ibu.

Seorang lelaki yang bergelar ayah pasti akan merasai rindu pada sang anak tatkala tidak mampu bertemu, tidak berdaya memeluk dan mengelus manja sang anak. Perpisahan yang berlaku bukan kemahuan diri, lantaran terpaksa akur dengan keadaan. Terbayang-bayang wajah sang anak. Terdengar-dengar suara comel memanggil "Ayah". Itu semua terpaksa dibiarkan berlalu walau dalam hati menggebu untuk bertemu.

Tatkala rindu mencengkam perasaan dan sang anak tidak mampu digapai, lalu apakah yang boleh dilakukan? Hanya kekuatan jiwa dan keteguhan iman menjadi taruhan. Air mata lelaki juga bisa tumpah kerana lara jiwa dan sarat rindu yang ditanggung.

Namun apa pun, yakinlah...Allah tidak akan menduga kita untuk sesuatu yang kita tidak mampu lalui. Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih juga Maha Mengetahui.

Tuesday, August 17, 2010

Peluang@UiTM

Pengambilan pelajar bagi semester Disember 2010 kini dibuka mulai 16 Ogos 2010. Peluang kepada mereka yang mungkin tidak berjaya dalam permohonan sebelum ini. Persaingan untuk pengambilan kali ini agak kurang berbanding pengambilan Julai yang lalu.

Turut ditawarkan adalah program Pra-Diploma Mengubah Destini Anak Bangsa. Program galakan menyambung pengajian untuk anak2 bumiputera di kalangan mereka yang kurang berkemampuan. Bantuan kewangan dan kemudahan kolej akan disediakan. InsyaAllah.

Permohonan boleh dibuat secara online.

Sampaikanlah kepada saudara mara, rakan taulan dan masyarakat sekitar. Mungkin mereka ada calon-calon yang berkelayakan dan memerlukan bantuan. Dengan izin Allah, bantuan yang sedikit ini mungkin akan membantu kita di akhirat kelak.

Dapatkan maklumat terperinci di http://www.online.uitm.edu.my/

Boleh juga hubungi kami; 07-9352069/2497/2068/2362



Friday, August 13, 2010

Salam Ramadhan


Ramadhan datang lagi...

Tahun ini saya lalui Ramadhan yang datang tanpa Ijam-sama seperti setahun yang lalu.

2008 - Saya melalui Ramadhan dengan jiwa yang yang haru-biru apabila dimaklumkan tentang kanser yang bersarang dalam tubuh Ijam. Memikirkan masa depan pada ketika itu menyebabkan jiwa saya resah dan gundah. Ada ketikanya rasa putus asa dan kecewa.
Namun, hikmah di sebalik itu - ianya berlaku dalam bulan yang penuh kerahmatan. Lalu Ramadhan 2008 menjadi titik permulaan kebergantungan saya secara total kepada ALlah s.w.t atas semua ketentuan takdirNya.

2009-Ramadhan saya lalui dalam keadaan yang sangat sukar. Hati saya sentiasa berasa walang. Tiada lagi Ijam peneman sahur dan berbuka. Saya hidup dalam kenangan dan kenangan itu sangat menyiksakan. Ramadhan tahun itu saya rasakan seperti satu putaran filem yang menayangkan kenangan Ramadhan saya bersama Ijam. Airmata menjadi peneman setia jiwa yang lara.

2010 - Ramadhan datang lagi. Bohong kalau saya katakan saya tidak merasakan apa yang saya rasa setahun yang lalu. Bezanya kali ini, saya lebih kuat walaupun ada ketikanya saya tewas juga dalam perasaan sendiri. Solat Tarawikh di malam pertama Ramadhan membuatkan kenangan berpuasa bersama Ijam kembali hidup. Dan perasaan saya semakin terdera. Rindu yang tersimpan menyesakkan dada. Hanya Allah yang tahu apa yang saya tanggung.

Ramadhan menyimpan ceritanya yang tersendiri buat saya. Kenangan Ramadhan bersama insan seiistimewa Ijam tidak akan pernah saya lupakan kerana di situ ada kekuatan untuk saya meneruskan kehidupan.

Selamat menjalani ibadah puasa untuk semua. Semoga Ramadhan kali ini lebih mulia dan lebih baik dari yang sebelumnya.




Tuesday, August 3, 2010

Mama Tak Cinta Papa?

"Mama dah tak cinta Papa lagi ke?...Habis kenapa Mama tak recite doa untuk Papa lagi?"


Danish meluahkan apa yang difikirkan kepada saya malam semalam. Ini mungkin disebabkan sudah hampir seminggu dia tak nampak saya bersolat lalu dia merasakan saya tidak berdoa untuk papanya. Bila tidak berdoa, maka tidak sayang atau cinta lagi.
Pertanyaan yang sangat jujur melalui pemerhatian yang tajam.

Bila saya terangkan kenapa saya tidak bersolat, dia persoalkan perkara lain pula. Boleh ke off solat? hehehe..macam mana saya nak jelaskan perkara ni pada budak umur 4 tahun? Budak lelaki pula tu...hmmm...

Tidak dapat saya nyatakan betapa kasih dan sayangnya saya pada Ijam walaupun kita semua tahu cinta pada manusia bukan cinta yang hakiki.
Namun kasih yang ikhlas akan sentiasa berbekas di hati.

Monday, August 2, 2010

P.e.l.a.n.g.i.

Pelangi sering dikaitkan dengan sesuatu yang indah dan menggembirakan. Ia biasanya sebagai kiasan untuk menggambarkan perasaan bahagia dalam diri seseorang dan orang yang membawa kebahagiaan itu istimewa dan indah seperti pelangi.

Saya teringat sebuah lagu tentang pelangi - Pelangi Petang nyayian Allahyarham Sudirman. Semasa di sekolah rendah, lagu itu menjadi siulan ramai. Tidak terkecuali, gadis2 tak cukup umur macam saya walaupun langsung tidak memahami maksud yang tersirat. Yang pasti, ianya sedap untuk didendangkan...

Satu mitos tentang pelangi sewaktu saya kecil - jangan menunjuk jari pada pelangi, nanti tangan kamu akan kudung!. Satu dongeng yang entah apa logiknya tetapi ditakuti dan kami patuh pada amaran itu. Lalu, bila ada pelangi, kami tidak berani menunjuk dengan jari tetapi memuncungkan mulut untuk menunjukkan arah pelangi. Kini, saya tersenyum sendiri bila memikirkan naifnya saya percaya perkara macam tu..namun ianya manis untuk dikenang.

Hakikatnya, pelangi itu memang indah dan keindahan itu patut dinikmati dan dihargai. Walaupun hadirnya cuma seketika, namun kemunculannya sentiasa menceriakan. Indahnya ciptaan Allah sebagai bukti kekuasaanNya.

Saya suka pelangi yang ada dalam hidup saya.... :)



Wednesday, July 21, 2010

Jalan Yang Mana?

Ada banyak kemungkinan yang kita akan silap membuat pertimbangan dan percaturan dalam hidup ini. Ada masanya kita perlu membuat pertimbangan dan pilihan.


Seandainya kita berada dalam situasi seperti analogi di bawah, lalu jalan mana harus dipilih?



JALAN YANG MANA??

Jalan A, sangat mudah-tiada halangan ataupun masalah. Hanya jalan lurus dan tiada cabaran. Namun tiada pemandangan indah untuk dinikmati. Segalanya sangat plain dan hambar.

Jalan B sangat mencabar. Banyak halangan dan boleh dikatakan hampir pasti bahawa diri akan terluka, berdarah mungkin juga tersungkur sebelum sampai ke penghujungnya. Namun di laluan itu ada nikmat2 dan keindahan yang membelai jiwa dan menyenangkan.

Persamaan antara dua jalan ini - tidak diketahui bagaimanakah penghujungnya.Sama ada pengakhiran yang baik, manis,indah atau sebaliknya.

Kewarasan akal dan sifat ehsan mungkin mendesak untuk memilih Jalan A namun hati dan perasaan lebih cenderung kepada Jalan B. Satu situasi biasa bila hati dan akal memainkan peranan. Lalu jalan mana harus dipilih?

Masih relevankah peribahasa "bersusah2 dahulu bersenang2 kemudian" jika memilih Jalan B sedangkan penghujung jalannya belum tentu senang. Atau perlu memilih Jalan A dan hilang nikmat dan pemandangan indah yang ada di Laluan B walhal penghujung jalan nanti mungkin juga tidak beroleh apa2.

Masih keliru dan tidak tahu jalan mana perlu dituju kerana sekali pilihan dibuat, maka tiada lagi peluang untuk berpatah balik. Satu pertaruhan yang bukan mudah.

Lalu, jalan yang mana perlu dipilih?