A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tuesday, June 23, 2009

PTK

Hari ini aku selesai menduduki PTK. Kebetulan semalam aku diserang selsema yang agak teruk. Dalam masa yang sama Danish selsema dan demam juga. Kepala agak berat, hidung pun rasa sarat sangat. Masa untuk study pun agak limited. Jadinya, semalam dan hari ini aku datang exam lebih kepada tawakal. Ikhtiarnya tak 100% sebab memang agak sibuk sangat sampai study pun ala-ala aje. Bila malam, buka buku je terus terlelap.
Aku dimaklumkan ini PTK terakhir mengikut format sedia ada. Kemungkinan tahun depan akan gunakan format baru. Format yang macam mana, aku pun tak tahu. Yang pasti, aku dah tanam azam tak nak repeat paper. Belum pernah dalam sejarah hidup aku repeat mana-mana paper dalam exam. Jangan kali ni aku pecah rekod sudah. Harap2 restu mak dan abah yang aku pohon sebelum exam membantu aku untuk lulus Aras IV. Amin...
TQ En Khairul sebab wish me luck masa nak exam. Ingat jugak boss yang saya nak exam ye..:)

Monday, June 22, 2009

Satu Bulan

Hari ini genap satu bulan Ijam pergi tinggalkan aku dan Danish untuk selamanya. (Mengikut bulan Islam, genap pada 27 Jamadilakhir). Kenangan kali terakhir berbicara dengan dia dan saat-saat terakhir dengannya masih lagi jelas terbayang. Rasa macam semalam je peristiwa tu berlaku. Memang susah untuk aku lupakan detik-detik dua minggu terakhir aku bersamanya. Kami masih bergurau dan dia terlalu manja dengan aku pada waktu itu. Bila dikenang-kenang terasa sesak nafas. Fikiran berserabut memikirkan masa depan yang entah macam mana, dugaan apa lagi yang akan datang. Kadang-kadang terasa lemah sekali untuk melangkah meniti hari esok.
Selama sebulan jugalah aku memendam perasaan seorang diri. Ada kalanya hati aku terguris, maruah tercalar dengan kata-kata orang sekeliling. Mungkin mereka tak berniat untuk menyakitkan hati, tapi perasaan aku yang agak sensitif sekarang membuatkan aku begitu mudah terasa. Semuanya aku lepaskan bila aku berada di makamnya setiap hujung minggu.
Kalau dulu, aku tak sabar nak menunggu hari Jumaat kerana aku akan ke Kota Tinggi bertemu dengannya. Hari Rabu, aku akan ke Johor Bahru, bertemu dengannya semasa sesi rawatan kimoterapi. Hampir tiga bulan rutin itu aku lalui dan tidak terasa langsung ianya satu beban kerana perasaan teruja untuk bertemu dengannya mengatasi segala-segalanya. Kini rutin aku berubah. Setiap hujung minggu aku akan balik ke Pontian untuk menziarahi pusaranya, tapi aku rasa tenang dan damai berada dekat dengannya walaupun yang ada hanya batu nisan yang bisu. Biarlah orang kata doa boleh diutus walau tidak menziarahi pusara, namun bagi aku menziarahinya setiap minggu bukti kasih dan sayang aku yang masih tidak berubah sehingga kini. Bukti nilai kasih dan sayang yang begitu menebal dalam hati. Ia juga cara terbaik untuk aku melepaskan kerinduan yang cukup sarat untuk ditanggung.

Friday, June 19, 2009

Kenangan

Setiap kali hari Jumaat aku akan teringat tarikh 22 Mei 2009. Pada hari Jumaatlah aku berada di sisi arwah suami dari pagi sampailah dia menghembus nafas terakhir. Allah telah menggerakkan hati saya untuk berada di sisi suami sepanjang hari tersebut. Saya tak tinggalkan dia sepanjang hari kecuali untuk bersolat. Tanpa henti saya membaca Yaasin dari pagi sampai malam. Rupa-rupanya itulah hari dan peluang terakhir untuk saya berbakti kepada suami.
Bila tiba hari Jumaat, kenangan itu datang sendiri dan ianya umpama pita video yang ditayang berulang-ulang. Setiap kali waktu maghrib menjelang, setiap kali itu jugalah saya terbayang saat-saat terakhir saya bersama dia. Ianya satu kenangan yang tidak akan boleh saya lupakan sampai bila-bila. Masih terasa debaran hati saya yang semakin kencang selari dengan nafas suami yang semakin lemah ketika itu.
Saya tidak berniat untuk melupakan kenangan itu. Ianya pengalaman hidup terakhir saya bersama suami yang saya sayang seikhlas hati, saya kasihi sepenuh jiwa. Mana mungkin saya melupakan insan yang benar-benar sabar dan menerima saya seadanya. Dia menerima saya dengan segala kekurangan yang ada pada saya. Dia seorang suami yang penuh dengan perasaan kasih dan sayang. Memang saya benar-benar bersyukur dikurniakan seorang suami seperti dia, walaupun dipinjamkan hanya sekejap. Suami saya adalah kenangan yang terindah dalam hidup saya yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Tuesday, June 16, 2009

Birthday Danish

Kek birthday yang banyak flowers


Danish dengan sepupu-sepupunya sibuk 'booking' flowers

Inilah kek harijadi Danish yang dia kata ada banyak flowers. Dari pagi dia tanya bila nak potong kek dia. Tak ada majlis apa2 pun, cuma doa selamat satu keluarga sahaja. Ira, Irfan, Lokman dan Kak Long (Anak2 Kak Ila) semua ada hadiah untuk Danish. Mesti diorang simpan duit belanja sekolah untuk beli hadiah tu. Harga hadiah tak penting, yang penting keikhlasan diorang memberikan hadiah juga tanda ingatan mereka. Danish hepi sangat bila sepupu-sepupu dia bagi hadiah.

Kereta yang Papa nak hadiahkan pada Danish
Ini hadiah dari Ayah Li sekeluarga (Pakcik Ijam). Sebenarnya Ijam pernah berniat nak bagi hadiah ni untuk Danish masa birthday. Ijam pernah bagitau saya dia nak hadiahkan kereta ni sebab cantik, murah sikit harganya kat Kota Tinggi compare kat Segamat. Bila dia dah takde, pakcik dia pulak hadiahkan sebab nak sampaikan hajat arwah. Dia cakap kat Danish itu hadiah dari Papa. Masa tu rindu saya pada Ijam betul2 membuatkan hati saya sedih tapi saya tahan perasaan sendiri. Sehinggakan saya berangan-angan seolah-olah Ijam ada dalam majlis tersebut.
Hati saya tersentuh dengan keprihatinan dan keikhlasan diorang semua pada Danish. Semoga ALLAH memberikan balasan kebaikan yang berlipat ganda kepada mereka.

Monday, June 15, 2009

Happy 3rd Birthday Sayang

13 Jun 2009 birthday Danish yang ke-3. Pagi-pagi hari saya bawa Danish ke kubur Papanya. "Papa, hari ni birthday adik. Adik dah 3" (sambil menunjukkan 3 jarinya). Itulah kata-kata Danish bila kami sampai di kubur Ijam. Perasaan sedih dan sayu terus menyerbu masuk ke hati. Terasa hiba sangat-sangat. Rindu saya pada arwah begitu terasa. Tambahan lagi waktu pagi suasananya amat tenang dan sunyi. Inilah kali pertama Danish menyambut harijadi tanpa papanya dan ianya akan kekal begitu sampai bila-bila.
Saya teringat tentang azam Ijam awal bulan Mac. "Yang, orang nak cepat sihat. Nanti nak sambut birthday adik. Orang tak nak celebrate kat hospital la Yang". Itu impian dan harapan yang dia luahkan pada saya. Dia juga dah plan hadiah untuk anak dia. Tapi manusia hanya merancang, ALLAH juga yang berkuasa. Siapa menyangka yang Danish akan menyambut harijadi yang ke-3 tanpa Papanya.
Malam harinya ketika nak tidur, si kecil bertanya soalan yang meruntun jiwa. "Mama, kenapa Papa tak balik makan kek adik? Kek adik kan cantik ada flowers". Saya katakan padanya "Papa tidak boleh balik. Tak payah simpan kek untuk papa". Beliau mengangguk dan dalam suara yang sangat perlahan dia berkata "Adik rindu Papa..rindu sangat". Hati saya betul-betul tersentuh dengan kata-katanya. Air mata jatuh tanpa dapat ditahan-tahan. Kenangan bersama Papanya menyambut harijadinya yang kedua tahun lepas menjadi peneman tidur saya malam itu.

Wednesday, June 10, 2009

SUAMI, KEKASIH & TEMAN

22 Mei 2009 (Jumaat)-satu tarikh yang tak akan saya lupakan sampai bila2. Pada hari itu, tepat jam 8.28 malam suami saya pergi untuk selamanya setelah koma selama seminggu. Suami saya tewas dengans erangan kanser yang sememangnya ganas. Satu kenyataan yang amat payah untuk diterima. Saya kehilangan bukan sahaja seorang SUAMI, tapi juga seorang KEKASIH dan juga seorang TEMAN. Dugaan ini memberikan kesan emosi yang amat hebat pada saya. Selama hampir 3 minggu baru saya boleh menulis tentang kenyataan ini. Saya kehilangan tempat bergantung, tempat mengadu dan pelindung. Satu hakikat yang bukan senang untuk diterima.
Saya sedang belajar menjadi ibu dan ayah kepada Danish. Ada masanya saya takut untuk fikirkan masa depan dengan status saya sekarang. Status ini juga menjadikan saya agak rendah diri. Saya juga menjadi lebih sensitif sekarang. Sedaya upaya saya cuba untuk tidak terbawa-bawa dengan perasaan. Tapi bila rindu bertandang, air mata saya menjadi terlalu murah. Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya bila melihat peninggalannya di rumah. Ada ketikanya saya terasa seperti dia masih ada. Perasaan sayu dan rindu semakin parah bila melihat Danish. Danish banyak mewarisi rupa dan karakter papanya. Yang paling ketara, dia suka bergurau seperti papanya. Memang Allah Maha Besar. Dia tinggalkan Danish sebagai kenangan yang terindah antara saya dan suami. Ada masanya kesabaran dan kekuatan saya goyah dengan soalan-soalan Danish tentang papanya. Apalah sangat yang difahami oleh anak sekecil itu. Kesian Danish, dia menjadi anak yatim dalam usia belumpun 3 tahun.

YA ALLAH! ENGKAU AMPUNKAN DOSA-DOSA SUAMIKU. TEMPATKAN DIA DALAM SYURGA FIRDAUSMU YA ALLAH! BERIKAN AKU KEKUATAN MENGHADAPI DUGAAN MU INI. AMIN...