SYAWAL PERTAMA
Hujan lebat mencurah-curah membuka tirai 1 syawal di Pontian. Hujan yang berterusan dari Subuh hingga hampir ke pukul 10 pagi menyebabkan saya lewat menziarahi pusara Ijam. Jam 12.00 tengahari baru saya dapat menziarahi pusaranya. Keadaan kawasan yang lembab, becak dan lengang membuatkan hati saya agak sayu tapi masih terkawal. Ada ketikanya terlayang juga fikiran saya dengan kenangan kami beraya bersama sebelum ini walaupun sudah 2 tahun saya beraya tanpa Ijam. Kenangan itu akan saya simpan sampai bila-bila.
Petangnya saya ke Kota Tinggi beraya ke rumah pakcik dan makcik Ijam. Mereka satu-satunya keluarga Ijam yang saya ada di bumi Johor. Mereka sekeluarga banyak membantu ketika kami susah dahulu. Jasa dan budi mereka menjaga Ijam dulu tak akan saya lupa sampai bila-bila. InsyaAllah selagi ada upaya saya akan tetap menziarahi mereka setiap kali Hari Raya.
Seorang rakan lama-Fairuz datang berziarah. Kali terakhir kami berjumpa adalah di majlis perkahwinan saya 5 tahun yang lepas. Seronok bercerita dari satu topik ke satu topik sampai tak sedar dah lewat malam. Teringat zaman persekolahan dulu..zaman anak dara sunti meningkat remaja..hehehe.
SYAWAL KEDUA
Rumah Abah kena serbu! Hampir sepanjang hari ini kami adik beradik menjadi penyambut tetamu dan pembuat air juga pencuci pinggan mangkuk sepenuh masa. Hari ini ramai sepupu datang bertandang dan kebetulan pula selepas satu, satu keluarga sepupu datang. Mereka datang secara beramai-ramai sehingga ada yang datang 9 biji kereta sekaligus..rumah Abah yang luas tu pun terasa sempit. Kak Long dan Kak Maz (kakak kedua) tak cukup tangan memasak. Suasana kat rumah tu dah macam pasar borong bila masing-masing bercerita. Hanya bila tiba waktu Asar keadaan terasa agak lega..dan kami pun turut menarik nafas lega!
SYAWAL KETIGA
Kami adik beradik bersiap awal untuk beraya. Kami kena keluar awal sebelum rumah kami kena serbu seperti hari sebelumnya. Hampir semua rumah di kampung tu adalah saudara mara saya tidak kiralah saudara dekat ataupun jauh. Jadi banyak rumah yang kami akan singgah. Seawal jam 9.00 pagi kami dan keluar beraya. Kami pulak serbu rumah orang...
SYAWAL KEEMPAT
Saya balik ke Segamat kerana akan mula bertugas pada hari Selasa. Terasa cepat benar masa berlalu bila tak sedar dah nak balik kerja. Danish tak nak balik sebab sepupu-sepupu dia masih ramai lagi di kampung. Mereka akan balik pada hari Selasa atau Rabu. Danish beri cadangan pada saya agar pindah aje kat kampung. Duduk dengan Atuk. Terang-terang la cadangan Danish ditolak. Hehehe.. Kami selamat tiba di Segamat jam 10.30 malam. Alhamdulillah..
Esok dah mula kerja dah...hmmmm...
No comments:
Post a Comment