A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Sunday, October 31, 2010

Bola


Semalam berlangsung Piala Malaysia dan Kelantan adalah juara Piala Malaysia edisi 2010. Gomo Kelate Gomo...

Saya ni bukanlah peminat fanatik bola sepak. Tambahan dulu Ijam pun tak minat bola jadi kami tak kisah pun piala apa yang berlangsung. Tetapi semalam saya terasa berminat pula nak tonton perlawanan itu. Saya mestilah sokong Kelantan sebab papa Danish orang Kelantan...:)

Saya teringat abah saya bila bercakap pasal bola. Dulu kalau ada perlawanan bola sepak, kami adik beradik akan resah di depan tv. Kalau boleh elakkan tukar2 siaran ke terutamanya TV1 (masa tu belum ada astro lagi) sebab selalunya perlawanan bola disiarkan di TV1. Kalau tertekan ke siaran itu dan kebetulan ada perlawanan bola sepak, memang 'penalti' lah jawabnya. Abah tak akan tukar ke siaran lain. Pujuk rayu macam mana pun tak jalan. Sudahnya kami terpaksa juga layan bola. Tengok juga tv walaupun dalam hati berbuku2 menahan marah. Tetapi lebih marah pada siapa yang telah gatal tangan pergi tukar2 siaran. Tak sanggup untuk tunggu perlawanan yang lama, selalunya kami akan masuk bilik tanda kalah dan orang yang gatal tangan tukar siaran akan diboikot.

Sekarang Abah berkuasa penuh untuk tengok perlawanan bola bila2 masa, tak kisahlah piala apa pun. Kami semua kini jauh untuk berebut siaran dengan Abah. Kadang2 rindu juga untuk berebut siaran tv macam dulu...:)




Friday, October 29, 2010

Masih Terasa

Dalam tazkirah pagi ini Prof ada memaklumkan tentang Pn Ayu-adik ipar beliau yang akan melalui satu pembedahan akibat dari kanser payudaranya yang telah merebak ke paru-paru dan jantung. Bila saya baca entri Prof-Doa buatmu Ayu, tiba2 saya terasa sebak.

Fikiran saya melayang pada satu peristiwa dalam hidup saya. Dapat saya rasakan perasaan yang pernah saya lalui dulu datang kembali. Ianya kenangan dan perasaan juga debaran yang saya lalui pada saat2 Ijam diusung ke dewan pembedahan kerana kansernya telah merebak ke usus dan menyebabkan beberapa komplikasi yang lain. Perasaan itu menyusup masuk ke hati dan dan visual kenangan terbayang2 di mata saya. Hati saya bergetar menahan rasa.

Kenangan itu datang lagi.

16 Mei 2009 @ 9.00 a.m - Pada waktu itu, Ijam ditolak masuk ke dewan bedah dengan ditemani saya seorang. Ketika itu masih pagi dan keluarganya masih belum tiba. Susah untuk saya gambarkan perasaan saya ketika itu. Doktor secara peribadi memaklumkan tentang peluang dan risiko yang ada pada saya. Ianya di luar pengetahuan Ijam. Saya tidak begitu setuju dengan pembedahan itu tetapi Ijam tetap mahu ianya dijalankan. Antara rela dan terpaksa saya hantar Ijam hingga ke pintu dewan bedah. Atas budi bicara doktor, saya dibenarkan menemani hingga ke atas katil pembedahan. Saya bersama dengannya sehinggalah dia tidak sedarkan diri kerana bius. Itulah saatnya interaksi terakhir antara saya dan Ijam. Saya melangkah keluar meninggalkannya dalam keterpaksaan dan air mata yang berjurai-jurai.

Selapas itu semuanya berubah. Tiada suara, senyuman mahupun pandangan matanya lagi. Yang tinggal hanya nafasnya yang turun naik dengan alat bantuan. Saya tidak menjangka begitu pengakhirannya. Tiada apa yang mampu saya buat kecuali berserah dan mengharapkan keajaiban berlaku. Pada waktu itu, saya berserah seratus peratus kepada Allah. Saya betul2 tak punya apa2 daya.


Lalu kini saya dapat memahami dan merasai situasi yang dilalui oleh Pn Ayu dan keluarganya sekarang. Saya doakan Pn Ayu diberikan kekuatan dan terus redha dengan apa yang ditentukan untuknya. Semoga beliau dan keluarganya terus tabah dengan ujian ini.


Saya doakan kesejahteraan mereka.

Thursday, October 28, 2010

Rasa Cemburu

Kenapa rasa cemburu?

Saya bukan orang yang mudah rasa cemburu. Sepanjang usia perkahwainan saya dengan Ijam, tidak pernah kami berselisih faham kerana cemburu. Saya tidak pernah berprasangka dengan Ijam atau cemburukan dia dengan wanita lain sehinggakan ada kawan saya yang berkata saya ni wanita abnormal..(iye ke???...) Kepercayaan saya pada dia mengatasi rasa cemburu. Saya tidak cemburu pada Ijam sebab tidak ada perlakuannya yang boleh menimbulkan rasa cemburu. Jadi, mengapa perlu rasa cemburu sedangkan ianya tidak perlu. Dalam keadan biasa, perempuan mestilah selalu cemburu dengan suaminya..barulah dipanggil normal agaknya.. Cemburu kan tandanya sayang...:)

Cemburu itu melemaskan dan saya tidak mahu orang yang saya sayang lemas dengan perangai dan sikap saya yang cemburu. Cemburu biarlah pada tempat dan masa yang betul..itu pendapat saya.

Tetapi sekarang rasa cemburu tu seolah-olah ada dalam diri saya. Saya pun tak tahu kenapa saya rasa macam ini. Mungkin rasa unsecure atas sesuatu perkara yang masih belum pasti ataupun sikap individu itu yang membuatkan saya tidak percayakannya dan seterusnya merasa curiga sehinggakan rasa cemburu itu timbul.

Kadang2 hati saya berprasangka yang bukan2 dan fikiran saya mula memikirkan yang entah apa-apa. Keadaan ini melemaskan saya. Saya cuba kawal cemburu itu tetapi ianya tetap ada. Saya rasa jiwa saya tak tenteram. Cemburu itu tetap hadir walaupun dalam keadaan yang terkawal. Saya bukan lagi seperti dulu - orang yang tanpa rasa cemburu. Saya kurang pasti dengan apa yang sedang berlaku dalam diri saya sekarang.

Susah rupanya hidup dengan rasa cemburu. Saya sedang cuba mengatasi rasa itu. Saya pun tak tahu kenapa la pulak saya dah ada rasa cemburu sekarang ni..

Kenapa eh??..

Tuesday, October 26, 2010

Bila Berjanji...


Selalu kan kita dengar orang kata "lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji".
Bermaksud, bila kita berjanji kita mesti tepati. Sebenarnya bukan mudah untuk menunaikan janji. Ada yang pandai berjanji tapi tak pandai pula nak tepati. Ada ketikanya kita berjanji hanya untuk melepaskan diri dari sesuatu keadaan atau situasi tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menunaikan janji itu. Lebih kepada janji2 manis, takpun kira lidah bercabang.. (betul ke perumpamaan ni..)

Saya letih dan penat berurusan dengan orang yang susah sangat menepati janji. Perkara yang dijanjikan tak tahu bila akan tertunai. Dari sehari ke sehari janji itu hanya tinggal janji. Entah bila akan bernoktah saya pun tak pasti.

Saya pula bukan orang yang suka mendesak atau bertanya banyak kali. Kalau selalu sangat bertanya nanti saya sendiri yang rasa malu walaupun hakikatnya saya berhak untuk bertanya. Saya lebih senang bertanya sekali dua dan selepas tu tengok apa progress. Tapi orang yang macam ni bila kita diam, dia pulak buat senyap. Sudahnya perkara yang sepatutnya selesai awal tertangguh dalam jangka waktu yang tidak munasabah.

Geram? Saya memang geram..tapi simpan je dalam hati. Saya akan cerita pada dia yang saya percaya. Jadi sape2 yang jadi tempat saya meluahkan rasa tu, tahan jelah ye....:)

Monday, October 25, 2010

Peperiksaan Dah Bermula


Peperiksaan Akhir bagi semester Julai-Nov 2010 bermula hari ini sehingga 14 Nov nanti. Staf BHEA dah mula sibuk dengan persiapan peperiksaan sejak lebih kurang 2 minggu yang lepas.

Semoga peperiksaan kali ini dapat kami uruskan dengan baik tanpa sebarang masalah. InsyaAllah...





Sunday, October 24, 2010

Today Was A Good Day!!


Bosan juga bila kita sentiasa berada dalam norma hidup biasa. Hidup dalam keadaan yang segalanya dirancang. Ada ketikanya kita perlu jugak mencuba sesuatu yang baru.

Sesekali buat kerja gila dan lari dari kebiasaan best jugak. Dah lama saya tak buat benda2 di luar jangka...buat keje gila...:) Masa study dulu selalu la buat kerja2 gila dan luar jangka. Bila dah bekerja ni saya agak skima dan jarang sangat buat sesuatu tanpa dirancang.

Hari ini saya buat sesuatu yang di luar jangka. Ianya tidak dirancang sama sekali. Walaupun lari dari perancangan tetapi ianya menyeronokkan.

Saya gembira dengan semua perkara yang saya lalui hari ini...bertambah satu lagi cerita dalam diari hidup saya and I would say that.....I really appreciate it!

Saturday, October 23, 2010

Best..best...best.....


Sesuatu yang tidak disangka berlaku hari ini. It's a surprise...Saya tidak berapa suka dengan surprises tapi kali ini saya suka dengan surprise yang dibuat. It makes my day and i feel so good.

Kadang2 best juga layan surprise ni kan..:)

Saya menghargai kejutan itu...hmmmm...


Friday, October 22, 2010

Lama-lama Saya Pun Suka



Saya menerima hadiah-CD Maher Zain beberapa bulan yang lepas. Lebih tepat, pada awal bulan Jun. Lagu-lagunya berunsurkan ketuhanan dan dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris. Saya dapati ianya biasa-biasa sahaja walaupun ada lagu2 yang sedap untuk didengar. Adalah lebih kurang 2 kali saya mendengarnya lepas tu ianya terletak elok di atas meja komputer di ofis.

Kebelakangan ini saya rasa ramai yang menyebut2 nama si penyanyi ini. Sana sini orang sibuk bercakap tentang album dan konsert Maher Zain. Danish pun dah pandai menyanyikan lagu InsyaAllah yang ada dalam album tersebut. Ini menyebabkan saya tergerak untuk mendengar balik cd tu.

Saya pasang cd itu sepanjang waktu kerja. Ianya berulang2 dari pagi hingga petang. Saya semakin suka dengan lagu2 dalam cd itu. Bila didengar banyak kali, lama2 ianya melekat di hati dan saya akui cd ini menarik untuk didengar. Rugi pulak rasanya tak dengar sebelum ini.

Kata pepatah, kalau tak kenal maka tak cinta. Dalam kes ini, saya dah dengar dan kini saya dah suka...:)

Awak...saya suka cd ini!

Wednesday, October 20, 2010

Hilang

Saya kehilangan handphone Nokia Ijam yang kini saya gunakan. Puas mencari dalam kereta dan handbag tapi tak jumpa. Memang sah hp tu hilang. Saya hanya perasaan pada petang Selasa selepas habis Program META-7 di Grand BlueWave JB. Seingat saya selasa pagi saya gunakan hp tu di tepi kolam renang dan terus checkout. Sama ada saya tercicir di kolam renang ke saya tak pasti. Saya tak boleh ingat kronologi yang memungkin saya tercicirkan hp tu dimana-mana. Pihak hotel pun dah maklumkan takde hp tu tercicir di bilik hotel...:(

Bukan rezeki saya hp tu. Tapi saya terkilan sangat sebab dalam hp tu banyak gambar2 kenangan terakhir saya dan Ijam. Paling saya sayang gambar Ijam sehari sebelum dia meninggal. Silapnya saya tak simpan gambar tu dalam laptop. Sudahnya, ia hilang macam tu aje. Memang tipislah harapan nak dapat balik hp tu. Saya pun tak tahu dah macam mana nak dapat balik hp tu.

Tapi Saya masih berharap dan berdoa agar Allah lembutkan hati orang yag mengambil tu untuk pulangkan balik. Allah berkuasa atas segalanya. Kalau tak pulangkan balik hp tu, pulangkan memory card tu je pun jadilah...

Saya betul2 berharap!




Friday, October 15, 2010

Kerana Masa??


Semalam saya berjaya khatam Al-Quran. Saya merasai sesuatu yang saya rasa 'suatu masa' dulu. Sesuatu perasaan yang saya rasa sewaktu pertama kali khatam.

Saya mengambil masa 13 bulan untuk khatam senaskah Al-Quran sedangkan suatu masa dulu saya boleh khatam 2 kali dalam 13 bulan. Suatu masa ketika saya masih belum pun 9 tahun. Masih anak kecil tetapi boleh taat mengaji setiap hari tanpa ada apa-apa bantahan. Tidak pernah merungut ataupun terpaksa. Teringat kawan2 yang sama2 belajar mengaji. Setiap hari selepas sekolah agama di sebelah petang kami akan terus mengaji di rumah Wak Arip sehingga waktu Asar. Wak Arip bukanlah guru mengaji yang menyenangkan. Rotan sebesar jari kelingking orang dewasa dengan panjangnya hampir semeter sentiasa dalam tangan. Dia akan melibas rotan di lantai rumah papannya setiap kali kami malas untuk membaca atau mengacau rakan2 yang lain. Libasan itu walaupun bukan atas tubuh kami cukup untuk membuatkan kami kecut perut. Kadang2 sampai menangis dibuatnya. Belum lagi beliau menjegilkan mata setiap kali kami tersalah tajwid atau sebutan huruf. Cepat2 saya tunduk memandang lantai. Pandangan matanya sangat menakutkan. Ada kalanya saya membaca Al-Quran dengan mata berpasir dek air mata...:)
Saya sungguh terhutang budi pada arwah. Beliau mengajar saya mengenal huruf pertama Muqaddam hingga saya khatam lebih dari 5 kali dalam umur belumpun mencapai 9 tahun.


Saya yang kini bukan lagi anak kecil dan boleh berfikir sendiri hanya mampu khatam setelah lebih setahun. Mungkin kerana tiada rotan atau jegilan mata dari Wak Arip. Juga kerana lalai dengan nikmat yang diberikan sehingga membaca Al-Quran dijadikan perkara sampingan dengan peruntukan masa yang sangat terhad.


Kalau dulu, dalam umur baru 7 tahun, jadual saya sangat padat. Ke sekolah kebangsaan seawal jam 7.00 pagi dengan berbasikal sejauh lebih 7km. Tamat sesi sekolah kebangsaan terus menyambung ke sekolah agama dari jam 2.00 hingga 3.30 petang. Kemudian terus mengaji hingga hampir ke pukul 5. Lepas tu boleh lagi sambung bermain 'rounders' ke belon acah dengan kawan2 sampailah azan Maghrib.


Kesibukan yang sama saya lalui sekarang. Sibuk dari pagi hingga ke petang. Kadang2 membawa sampai ke malam. Bezanya, dulu saya punya masa yang spesifik untuk membaca Al-Quran sedangkan sekarang slot membaca Al-Quran akan diselitkan hanya jika ada masa yang lapang.


Sesuatu yang perlu difikirkan dan diperbetulkan sementara saya masih diberi masa dan peluang olehNya.





Thursday, October 14, 2010

IID 2010 Special Edition

Saya dan rakan2-PM Ahmad Nawawi & Pn Rohani menyertai IID2010-SE di Shah Alam lanjutan daripada kemenangan Gold Award semasa IID Johor sebelum ini. Percubaan yang pertama. Sebelum ini saya pergi sebagai Urusetia pasukan UiTM Johor dan tahun ini sebagai peserta.

Sesi pameran kami pada hari Isnin. Seawal jam 12 tengahari ketiga2 juri telah selesai menilai produk kami. Alhamdulillah, komen yang diterima sangat positif. Kami tidak menaruh harapan tinggi untuk menang tetapi meyimpan impian agar satu hari nanti 'baby' kami akan digunapakai di seluruh sistem UiTM. InsyaAllah...

IID membuka ruang untuk saya secara peribadi keluar dari lingkungan kerja sebagai Penolong Pendaftar. Seronok juga bila sekali-sekala buat kerja yang bukan rutin. Walaupun ada ketikanya rasa macam tak mampu nak siapkan semua keperluan sebelum IID, tapi puas bila hasilnya nampak.
Terima kasih pada Ustaz Nawawi dan Pn Rohani yang telah bersama-sama menyiapkan segalanya walapun masing2 sibuk dengan kelas.
Looking forward to work with u again guys...



Ini booth kami yg da siap set-up (A149)

bersama 2 orang hakim yang datang menilai
Team mate -Hjh Rohani & PM Ustaz Nawawi






Wednesday, October 6, 2010

Alahai...

Permulaan hari saya pada hari ini agak kurang baik. Kereta tak boleh start pula pagi2 ni.. Masalah bateri ataupun plug...itu andaian saya sedangkan sebenarnya saya tak tau sangat pasal kereta. Masalah juga nak cari workshop awal2 pagi. Teringat pula ada satu bengkel kereta yang buka seawal jam7.30 pagi dan dekat pula dengan rumah. Tapi saya tak pasti buka ke workshop tu hari ini. Alhamdulillah workshop tu buka pada hari ini.

Mekanik datang ke rumah dan bila check, bateri kereta dah lemah. Memang tepat andaian saya. Saya terpaksa masuk ke pejabat lewat dan selesaikan urusan menukar bateri dulu. Pagi2 lagi dah melayang duit saya ke poket cina workshop. Memang rezeki pertama cina tu pada hari ini. Lebar senyuman cina tu bila duit saya bertukar tangan. Saya yang 'makan hati' sebab tukar bateri!

Monday, October 4, 2010

Kenangan PGN

Malam Pra-Graduan (PGN) malam yang paling ditunggu2 oleh pelajar semester akhir pengajian. Malam melaram untuk mereka terutamanya siswi. Saya amat jarang menghadiri program ini-rasanya baru kali kedua walaupun selalu menjadi AJK penganjur.
Bila program di waktu malam, anak dan suami menjadi isunya. Lagipun jarak yang jauh antara Melaka ke Segamat juga waktu lewat malam menyebabkan saya jarang menyertai program ini.


Untuk semester ini, PGN telah diadakan pada hujung minggu lepas. Selaku AJK Anugerah Pelajar saya terpaksa pergi juga. Memang melaram habis la anak2 dara UiTM Johor malam tu..macam2 fesyen digayakan mengikut tema 1 Malaysia. Hmmm..peluang yang datang sekali sebelum grad..Malam itu jadi malam 'kelepasan' untuk mereka bergaya sakan.


Teringat zaman saya study dulu. PGN malam yang ditunggu2. Dari awal semester lagi saya dan rakan2 sudah merancang baju apa yang akan dipakai untuk majlis PGN sedangkan kuliah pun belum mula lagi!...:) Persiapan untuk satu malam mengambil masa satu semester..tapi akhirnya kami tak dapat sertai PGN kerana ada test pada malam yang sama..Hancur harapan nak bergaya sakan. Sudahnya baju tu terperap di dalam almari dan kami PGN di dewan test...:(