Saya kembali mencuci kasut sekolah pada setiap hujung minggu..macam zaman sekolah dolu2.. cuma sekarang ini, saya cuci kasut sekolah Danish.
Sewaktu saya sedang mengapur kasut sekolah dia hari ini, tetiba saya teringat zaman saya sekolah. Teringat kenangan saya sewaktu di sekolah rendah. Saya mula bersekolah darjah satu dalam tahun 80-an. Pada waktu itu, kasut sekolah saya adalah kasut getah/plastik. Kalau kasut kain tu adalah sesuatu yang 'mewah' bagi saya. Sepanjang 6 tahun saya bersekolah rendah itulah kasut saya. Ianya hanya berganti jika saiz kaki saya berubah. Ianya tidak koyak, tidak perlu dikapur dan yang paling penting, saya tidak perlu risau kasut tidak kering jika hari hujan. Kalau basuh setengah jam sebelum ke sekolah pun ok aje. Lepas cuci, lap2 sikit dan boleh pakai ke sekolah dah..(sesuai dengan saya yang malas nak cuci kasut).
Taraf hidup keluarga saya pada waktu tidak memungkinkan saya untuk pakai kasut kain. Dengan pendapatan abah sebagai buruh binaan dan perlu menyara anak seramai 7 orang (pada waktu itu) memang mimpilah nak pakai kasut kain. Duit poket pun setakat 20 sen sehari dan nilai itu kekal dari saya darjah 1 sampai darjah 6!. Tetapi pada ketika itu, kasut plastik/getah tidak menjadi isu besar pada diri saya. Ada juga kawan2 yang menggunakan kasut yang serupa walaupun rata2 dah mula pakai kasut kain bila masuk ke darjah 4 atau 5. Tidak pula saya mendesak untuk mendapatkan kasut kain dari abah. Mungkin pada masa itu, saya belum pandai bergaya..hehehe...dan yang paling penting, memang tak berani nak bukak mulut mintak kasut kain. Sekali abah besarkan mata, boleh lemah semua sendi belum lagi suara abah yang saya rasa kuat menggegar jantung! Apa yang abah sediakan itu yang kami adik beradik terima. Tiada rungutan secara terus, kalau ada pun cuma luahan hati sewaktu dalam kelambu sebelum kami tidur.
Keadaan sangat berbeza kini. Danish ke sekolah dengan kasut kain seawal umur 5 tahun. Memang jauh beza dengan zaman saya dahulu. Kalau sekarang Danish ke sekolah dengan kasut getah/plastik, tentu ianya satu fenomena yang luar biasa. Entah2 kasut getah pun dah takde lagi dah hari ini.
Dalam hati saya bersyukur kerana diberikan rezeki sehingga mampu menyediakan kelengkapan yang terbaik untuk Danish. Sebolehnya saya tidak mahu dia merasai kesusahan dan kepayahan yang pernah saya lalui dulu. Teringat kata2 Ijam dulu. Dia pernah susah dan dia tidak mahu anaknya juga susah.
Saya berterima kasih atas nikmat dariNya dan berdoa agar kami menjadi hamba yang selalu bersyukur.
No comments:
Post a Comment