A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Friday, September 24, 2010

BESAR bezanya...

Akal membezakan antara manusia dan haiwan sekaligus menjadikan manusia menjadi makhluk yang paling mulia dan terhormat. Kita akan mampu menggunakan akal dengan waras bila emosi kita stabil dan dalam keadaan biasa-biasa. Namun selalunya kita menjadi 'hilang akal' bila sedang marah, terhina dan tercabar. Dan dalam keadaan itu, kita boleh menjadi orang yang 'luar biasa'.

Ketika sedang marah, lidah dan mulut yang selalunya sopan dan manis akan menjadi terlalu lancang berbicara. Hilang terus pertimbangan dan adab sopan. Terhambur semua kata2 yang mungkin boleh memuaskan hati yang sedang marah. Tidak langsung memikirkan buruk baik dan perasaan orang yang dihambur.

Namun sebenarnya ketika sedang marahlah kita menjadi diri kita yang sebenar. Akhlak baik dan sifat terpuji terpadam hanya dengan satu perasaan marah yang tidak terkawal. Maka rupa dan akhlak sebenar kita terserlah ketika itu. Lihatlah rupa kita di cermin ketika sedang marah, dan kita akan sedar betapa buruknya rupa kita pada waktu itu!

Memang bukan mudah mengawal kemarahan kerana ketika sedang marah seluruh urat saraf kita diresapi dengan hasutan dan bisikan syaitan yang mahukan kita saling sakit menyakiti. Kita boleh menyakiti hati orang lain asalkan hati kita puas dengan marah yang dilepaskan tetapi sakitnya hati dan tergurisnya rasa orang yang dimarah itu akan kekal begitu. Luka itu mungkin boleh sembuh tetapi parutnya kekal - mungkin untuk selamanya.

Berfikir sebelum marah..bolehkah???....







Wednesday, September 15, 2010

Demam Lagi

Semalam saya mula kembali bekerja tetapi saya rasa tak berapa seronok. Kepala saya terasa berat dan badan saya rasa tak sedap. Hati pun rasa malas sangat nak bekerja. Mungkin keadaan kampus yang masih lengang menyebabkan saya rasa begitu. Menjelang tengahari sakit kepala saya semakin menjadi-jadi sehinggakan terasa macam ada batu besar di tengkuk saya. Saya rasa ofis saya sejuk sangat. Sendi-sendi pun terasa lenguh. Saya betul-betul tak larat.
Saya hanya berbaring sementara menunggu waktu berbuka. Saya berbuka dengan segelas air. Tekak saya tak mampu nak terima makanan. Terasa pahit benar. Saya saja check suhu badan. 38.3 darjah celcius-saya demam. Patutlah saya rasa tak sedap badan.

Demam lagi! Seingat saya lebih kurang 2 bulan lepas saya dah demam ni demam lagi. Seminggu sebelum raya saya selsema teruk. Kalau ikutkan sejarah hidup, saya agak payah untuk demam. Kadang-kadang dalam setahun tu saya tak demam langsung. Sekarang ni macam senang sangat sakit. Allah tarik sedikit nikmat kesihatan dari saya agar saya lebih menghargai nikmat yang diberikan. Benar kata orang - Ingat Sihat Sebelum Sakit...


Edisi Kompak..

SYAWAL PERTAMA

Hujan lebat mencurah-curah membuka tirai 1 syawal di Pontian. Hujan yang berterusan dari Subuh hingga hampir ke pukul 10 pagi menyebabkan saya lewat menziarahi pusara Ijam. Jam 12.00 tengahari baru saya dapat menziarahi pusaranya. Keadaan kawasan yang lembab, becak dan lengang membuatkan hati saya agak sayu tapi masih terkawal. Ada ketikanya terlayang juga fikiran saya dengan kenangan kami beraya bersama sebelum ini walaupun sudah 2 tahun saya beraya tanpa Ijam. Kenangan itu akan saya simpan sampai bila-bila.

Petangnya saya ke Kota Tinggi beraya ke rumah pakcik dan makcik Ijam. Mereka satu-satunya keluarga Ijam yang saya ada di bumi Johor. Mereka sekeluarga banyak membantu ketika kami susah dahulu. Jasa dan budi mereka menjaga Ijam dulu tak akan saya lupa sampai bila-bila. InsyaAllah selagi ada upaya saya akan tetap menziarahi mereka setiap kali Hari Raya.

Seorang rakan lama-Fairuz datang berziarah. Kali terakhir kami berjumpa adalah di majlis perkahwinan saya 5 tahun yang lepas. Seronok bercerita dari satu topik ke satu topik sampai tak sedar dah lewat malam. Teringat zaman persekolahan dulu..zaman anak dara sunti meningkat remaja..hehehe.

SYAWAL KEDUA

Rumah Abah kena serbu! Hampir sepanjang hari ini kami adik beradik menjadi penyambut tetamu dan pembuat air juga pencuci pinggan mangkuk sepenuh masa. Hari ini ramai sepupu datang bertandang dan kebetulan pula selepas satu, satu keluarga sepupu datang. Mereka datang secara beramai-ramai sehingga ada yang datang 9 biji kereta sekaligus..rumah Abah yang luas tu pun terasa sempit. Kak Long dan Kak Maz (kakak kedua) tak cukup tangan memasak. Suasana kat rumah tu dah macam pasar borong bila masing-masing bercerita. Hanya bila tiba waktu Asar keadaan terasa agak lega..dan kami pun turut menarik nafas lega!

SYAWAL KETIGA

Kami adik beradik bersiap awal untuk beraya. Kami kena keluar awal sebelum rumah kami kena serbu seperti hari sebelumnya. Hampir semua rumah di kampung tu adalah saudara mara saya tidak kiralah saudara dekat ataupun jauh. Jadi banyak rumah yang kami akan singgah. Seawal jam 9.00 pagi kami dan keluar beraya. Kami pulak serbu rumah orang...

SYAWAL KEEMPAT

Saya balik ke Segamat kerana akan mula bertugas pada hari Selasa. Terasa cepat benar masa berlalu bila tak sedar dah nak balik kerja. Danish tak nak balik sebab sepupu-sepupu dia masih ramai lagi di kampung. Mereka akan balik pada hari Selasa atau Rabu. Danish beri cadangan pada saya agar pindah aje kat kampung. Duduk dengan Atuk. Terang-terang la cadangan Danish ditolak. Hehehe.. Kami selamat tiba di Segamat jam 10.30 malam. Alhamdulillah..
Esok dah mula kerja dah...hmmmm...

Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya

Hari ini hari terakhir saya bekerja sebelum Aidilfitri. Esok InsyaAllah saya akan mula bercuti raya. Kampus pun sudah mula lengang semenjak awal minggu lagi. Dalam situasi begini, mood bekerja seakan merudum. Lagipun ramai kawan-kawan yang sudah pun bercuti raya.

Saya tidak bercuti lama. Cukuplah sehari sebelum dan sehari selepas raya. Bila ditambah dengan cuti Hari Raya kira lama jugalah di kampung. Perjalanan Segamat-Pontian hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam. Saya tidak perlukan cuti yang panjang kerana hujung minggu pun boleh balik.

Tahun ini tahun kedua saya mengambil cuti yang sangat minima. Kalau sebelum ini agak panjang juga bercuti raya terutamanya jika tiba giliran balik kampung mentua di Kelantan. Kadang-kadang terbit juga rasa rindu untuk balik kampung jauh-jauh macam dulu. Saya redha dan sedang menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Saya perlu kuat untuk melalui masa hadapan walaupun ada ketikanya kenangan lalu menyebabkan jiwa dan perasaan saya goyah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Semoga Aidilftri ini menjadikan kita lebih dekat kepadaNya, lebih mensyukuri nikmat-nikmatNya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN




Tuesday, September 7, 2010

"Ini semua salah mama"....

Hanya tinggal lebih kurang 2 hari sahaja lagi Aildilfiri akan menjelma. 2,3 hari kebelakangan ini bandar Segamat terasa menjadi sangat sibuk. Pasaraya sentiasa penuh sehinggakan nak mencari tempat letak kereta pun terpaksa berpusing banyak kali. Mungkin masih ada lagi persiapan raya yang belum selesai. Segamat ni jarang sangat sibuk kecuali musim-musim perayaan. Anak-anak yang di kota mungkin sudah mula balik ke kampung agaknya. Saya seboleh mungkin mengelak untuk keluar ke bandar sebab malas nak menempuh 'jam' di Segamat. Waktu-waktu macam ni barulah ada istilah 'jam' di Segamat. Itupun saya terasa lemas apatah lagi kalau setiap hari begitu..tak larat rasanya nak tempuh.

Menjelang hari raya ni Danish demam. Seluruh badan dan muka menjadi kemerah-merahan dan berbiji-biji kecil ditambah dengan gatal yang merata. Sepanjang hari dia menggaru badannya. Saya jangkakan dia terkena demam campak. Bila ke klinik doktor maklumkan Danish allergy tapi tak pasti pula allergy apa. Boleh jadi makanan, habuk, cuaca dan apa2 saja.


Kesian tengok muka Danish yang agak sembab dan merah. Tetapi kelakar pun ada tengok muka dia putih melepak bila saya sapu dengan ubat gatal dari klinik. Masa basah saya tak perasan pulak terlebih sapu. Bila dah kering jadi macam muka Aziz Satar dalam cerita Seniman Bujang Lapok la pulak...hehehe. Danish merajuk bila saya ketawakan muka dia. "Ini semua mama punya pasal la...memang salah mama semua ni..." dia merungut-rungut bila saya tunjukkan muka dia yang macam tepung gomak tu di cermin. Sorry la sayang..mama terlebih sapu la pulak...:)


Harap-harap Danish sembuh Hari Raya nanti.

Thursday, September 2, 2010

Beraya Di Mana??

Hari Raya semakin hampir. Ramai yang sudah mula bercuti minggu hadapan. Balik kampung sendiri atau kampung mentua - semuanya sudah dirancang seawal mungkin.

Saya terbaca satu kisah konflik rumahtangga di dalam sebuah majalah tempatan. Konflik berlaku disebabkan masalah menentukan giliran balik kampung untuk berhari raya.

Si suami meluahkan rasa kecewa dan tidak puashati kerana sudah 8 tahun tidak pernah balik beraya di rumah orang tuanya. Saban tahun si isteri akan meminta untuk beraya di kampungnya jika tidak, perang besar dan mogok akan dijalankan. Si suami terpaksa beralah dan ianya berlaku setiap tahun selama 8 tahun. Tahun lalu, beliau bertekad untuk beraya bersama keluarganya tidak kiralah sama ada isteriya bersetuju atau tidak. Konflik berterusan dan akhirnya berlaku perceraian.

Alahai...tidak berbaloi rasanya bercerai hanya kerana sebab yang remeh. Hari Raya yang cuma 2-3 hari menyebabkan masa depan yang jauh lebih panjang berantakan. Bila sudah bercerai-berai, banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan...masalah nafkah anak-anak, hak penjagaan dan macam2 lagi.

Saya terdetik di dalam hati kenapa isu yang remeh itu boleh menjadi punca perceraian. Ianya menggambarkan seolah-olah institusi kekeluargaan semakin goyah. Silap sikit sahaja pun boleh bercerai-berai.

Saya bersyukur kerana isu balik kampung siapa untuk berhari raya tidak pernah menjadi masalah besar antara saya dan Ijam. Kami mengikut sistem giliran kerana jarak yang jauh - Johor & Kelantan. Masing-masing faham giliran kampung mana pada tahun itu. Dan saya secara peribadi tidak kisah sangat di mana kami beraya yang paling penting saya beraya bersama dia. Bunyinya macam tidak logik tetapi itulah hakikatnya. Saya gembira beraya di mana pun asalkan bersama suami saya.

Hari Raya adalah hari untuk kita bergembira. Berbincang dan bermuafakatlah dalam mencapai keputusan yang terbaik untuk semua pihak. Apa yang penting semua orang bergembira di hari yang mulia.