A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Monday, August 30, 2010

Kurung Biru

Hari Raya akan tiba tidak berapa lama lagi. Lagu-lagu raya sudah mula rancak berkumandang di corong-corong radio. saya teringat pada sebuah lagu - Sepasang Kurung Biru. Lagu nyanyian Khairil Johari Johar ini adalah lagu kegemaran Ijam. Setiap kali tiba musim Hari Raya, dia akan menanti-nanti lagu ini dan kebiasannya lagu ini amat jarang sekali keluar radio. Jadi bila dia dengar je lagu ni, dia akan kuatkan suara radio sambil menyanyi penuh perasaan.

Setiap kali Hari Raya dia akan hadiahkan saya sepasang kurung biru. Itu wajib, tidak kiralah apa warna tema pakaian kami untuk tahun berkenaan. Apa yang pasti, sepasang kurung biru untuk saya mesti ada. Setiap kali saya bertanya kenapa asyik baju kurung biru, dia akan menjawab dengan gurauan - "Bila dengar lagu favourite dan tengok awak pakai baju kurung biru, baru saya rasa seronok nak raya". Dan biasanya saya akan menunjukkan reaksi tak percaya-mencebik bibir dan dalam hati akan berkata..kelentong je lebih!

Pernah juga saya protes dan meminta untuk warna lain. Jawapan dia mudah - "Pilihlah warna apa yang awak nak, tapi sepasang mesti warna biru". Dan akhirnya saya akan memilih dalam merajuk!
Awak jangan merajuk yang..mana tau suatu hari nanti awak jatuh kasih dengan semua baju kurung biru yang saya bagi..kata2 Ijam setiap kali saya merajuk selepas saya tewas dalam proses tawar-menawar untuk tidak membeli baju kurung biru.

Setahun yang lepas dan untuk seterusnya tiada lagi sepasang kurung biru untuk saya. Terasa rindu pula nak memilih baju kurung biru macam dulu. Rindu nak tawar-menawar untuk tak perlu beli baju biru dan rindu nak merajuk sebab sepasang kurung biru!

Memang betul apa yang Ijam pernah cakap dulu - sekarang saya rasa sayang sangat pada baju kurung biru yang dihadiahkan dulu.

Sepasang Kurung Biru
Oleh: Khairil Johari Johar
Tiada salam atau ucapan
Tiada pesan tanda ingatan
Susana penuh keriangan
Ku teringat pada seseorang oh...
Dihari yang berbahgia ini
Hatiku kosong dan sepi sekali
Betapa manis kenangan lalu
Menyambut raya bersama denganku oh...
Tiada bisikan lembut yang kudengar
Hanya suara azan sayup bergema
Masih kurasakan hangat tanganmu
Di pagi raya bersalam denganku
Tetamu datang tetamu pergi
Namun tak tiba orang ku nanti
Hanya sepasang kurung nan biru
Menjadi teman mengubat rinduku oh...

Friday, August 27, 2010

kecil tapi BESAR

Semalam jari hantu tangan kiri saya digigit semut. Saya tidak perasankan ia ada di situ bila saya sedang menolak pagar rumah. Semut itu mengggit jari saya dan melekap kejap sehingga sukar untuk saya tanggalkannya dari jari saya. Saya gunakan anak kunci rumah untuk menolaknya jatuh. Bekas gigitan semut itu memerah dan seolah2 ada darah beku. Mungkin semut itu terlalu marah atau mungkin terkejut sehinggakan kesan gigitannya begitu kuat. Rasa pedih, sakit dan gatal mula terasa.


Saya tidak ambil pusing sangat dengan rasa itu kerana berpendapat apalah sangat bisa semut yang saiznya hanya lebih kurang 2cm itu. Saya biarkan sahaja rasa sakit tu dengan harapan yang ianya akan surut sekejap lagi lagipun saya perlu bersiap untuk majlis Iftar dan majlis amal di Masjd As-Syakirin UiTMJ.


Ketika majlis sedang berlangsung saya rasakan jari saya semakin gatal dan mula terasa kebas. Jari saya sudah membengkak dan mula berwarna kemrah-merahan. Saya sapukan minyak gamat namun nampaknya tak berkesan. Mungkin dah terlewat waktunya.

Dan hari ini jari saya masih lagi membengkak, masih lagi merah dan gatal. Nampak tak cantik sungguh bila dibandingkan dengan jari-jari yang lainlain yang sihat. Hmm..hebat juga penangan semut kecil tu..


Bila direnungkan, ada pengajaran di sebalik kejadian ini:
(i) Ada sesetengah benda yang kita selalu pandang kecil. Pandang remeh akan kemampuan dan kebolehan yang ada pada benda itu. Dan yang lebih malang, Kadang-kadang kita tidak perasan langsung akan kewujudannya sebab benda itu kecil. Tetapi jangan disangka benda yang kecil itu lemah dan tidak berupaya. Benda yang kecil itu boleh jadi akan menyumbang untuk sesuatu yang sangat besar. Buktinya, semut yang kecil itu telah menyebabkan jari saya membengkak kembang semacam ...

(ii) Apa yang Allah jadikan itu adalah yang terindah dan terbaik untuk kita. Jari yang membengkak ini membuatkan saya menghargai jari saya yang sihat..:). Kita perlu belajar bersyukur.



Thursday, August 26, 2010

Syukur

Pertandingan rekacipta -Invention, Innovation & Design (IID) UiTMJ 2010 telah berlangsung selama 2 hari, semalam dan hari ini. Selain sebagai Sekretariat penganjur, saya membuat percubaan pertama sebagai peserta untuk kategori pentadbir.

Saya bersama 2 orang rakan pensyarah-PM Ahmad Nawawi & Pn Rohani berusaha semenjak lebih sebulan yang lalu untuk menghasilkan 'baby' sulung kami iaitu KIT PANDUAN PENSYARAH BARU. Memang agak lama juga masa yang kami ambil untuk menghasilkan kit ini memandangkan masing-masing terikat dengan tanggungjawab hakiki dan ini merupakan kerja yang perlu dibuat secara sambilan namun menuntut komitmen yang tinggi. Saya sendiri pada awalnya kurang yakin sama ada kit ini boleh disiapkan sebelum IID bermula. Jadual kerja dan rutin harian yang agak padat kebelakangan ini membuatkan saya agak kurang yakin untuk menyiapkannya. Syukur, dengan izin Allah kami berjaya juga menyiapkan kit itu seperti yang diharapkan.

Hari ini kit kami berjaya mendapat Anugerah Emas untuk kategori pentadbir. Sesuatu yang diluar jangkaan. Segala Puji Untukmu Ya Allah. Satu lagi nikmat kegembiraan untuk kami dariNya. Kepayahan serta kesulitan yang kami lalui lenyap serta-merta dan berganti dengan rasa gembira & puas yang tak terhingga.

Terima kasih saya yang tidak terhingga untuk rakan penulis - PM Ahmad Nawawi & Pn Rohani. Juga buat Shukri di unit korporat yang sangat2 membantu dari segi grafik & visual sehingga kit ini dapat dihasilkan. Semoga apa yang kita usahakan ini akan diterima sebagai amal kebaikan olehNya.

InsyaAllah kit ini akan memberi manfaat kepada yang memerlukan.

Inilah dia 'baby' kami....


Booth @ IID Johor 2010

Monday, August 23, 2010

R.A.H.S.I.A.


Tidak semua perkara boleh kita kongsi dengan orang sekeliling.

Ada ketikanya berdiam diri tentang perasaan dan rasa hati lebih baik bagi mengelakkan persepsi yang kurang enak. Boleh juga berlaku sikap berdiam diri dan berahsia ini menimbulkan spekulasi dan juga andaian-andaian yang negatif. Kita mungkin dikategorikan sebagai sombong, ego, pentingkan diri sendiri dan banyak lagi sikap2 yang tidak manis.

Mungkin juga akan ada yang terasa dan terluka dengan sikap berahsia ini. Individu yang terpenting dalam hidup akan merasakan bahawa dirinya tidak penting atau tidak dihargai atau si dia akan merasakan kita tidak bahagia dengannya sehinggakan tidak mahu berkongsi rasa. Itu boleh saja berlaku.

Pandangan dan penilaian setiap manusia adalah berbeza. Maka kita boleh punya alasan yang berbeza-beza untuk berahsia.

Secara jujur, saya agak perahsia orangnya terutama tentang hal-hal yang berkaitan dengan maruah dan reputasi. Lalu selalunya saya akan simpan sendiri apa yang ada di dalam hati. Tanpa saya sedar ada insan-insan yang merasa tersisih dengan sikap saya itu. Merasakan diri tidak penting dalam kehidupan saya. Tetapi, bukan itu hakikat sebenarnya. Saya tiada niat untuk membelakangkan sesiapapun terutamanya insan-insan terpenting dalam hidup saya. Cuma saya lebih selesa bila sesuatu rahsia itu kekal menjadi rahsia. Apa yang paling utama, dia tahu siapa dia dalam hidup saya.

Rahsia di hati hanya Allah yang tahu!



Wednesday, August 18, 2010

Rindu Seorang Ayah

Seorang ayah juga adalah seorang manusia biasa yang punya rasa rindu, cinta, kasih dan sayang. Tidak ada kurangnya kasih seorang ayah berbanding kasih si ibu, malah ada ketikanya kasih seorang ayah mengatasi kasih seorang ibu.

Seorang lelaki yang bergelar ayah pasti akan merasai rindu pada sang anak tatkala tidak mampu bertemu, tidak berdaya memeluk dan mengelus manja sang anak. Perpisahan yang berlaku bukan kemahuan diri, lantaran terpaksa akur dengan keadaan. Terbayang-bayang wajah sang anak. Terdengar-dengar suara comel memanggil "Ayah". Itu semua terpaksa dibiarkan berlalu walau dalam hati menggebu untuk bertemu.

Tatkala rindu mencengkam perasaan dan sang anak tidak mampu digapai, lalu apakah yang boleh dilakukan? Hanya kekuatan jiwa dan keteguhan iman menjadi taruhan. Air mata lelaki juga bisa tumpah kerana lara jiwa dan sarat rindu yang ditanggung.

Namun apa pun, yakinlah...Allah tidak akan menduga kita untuk sesuatu yang kita tidak mampu lalui. Allah itu Maha Adil, Maha Pengasih juga Maha Mengetahui.

Tuesday, August 17, 2010

Peluang@UiTM

Pengambilan pelajar bagi semester Disember 2010 kini dibuka mulai 16 Ogos 2010. Peluang kepada mereka yang mungkin tidak berjaya dalam permohonan sebelum ini. Persaingan untuk pengambilan kali ini agak kurang berbanding pengambilan Julai yang lalu.

Turut ditawarkan adalah program Pra-Diploma Mengubah Destini Anak Bangsa. Program galakan menyambung pengajian untuk anak2 bumiputera di kalangan mereka yang kurang berkemampuan. Bantuan kewangan dan kemudahan kolej akan disediakan. InsyaAllah.

Permohonan boleh dibuat secara online.

Sampaikanlah kepada saudara mara, rakan taulan dan masyarakat sekitar. Mungkin mereka ada calon-calon yang berkelayakan dan memerlukan bantuan. Dengan izin Allah, bantuan yang sedikit ini mungkin akan membantu kita di akhirat kelak.

Dapatkan maklumat terperinci di http://www.online.uitm.edu.my/

Boleh juga hubungi kami; 07-9352069/2497/2068/2362



Friday, August 13, 2010

Salam Ramadhan


Ramadhan datang lagi...

Tahun ini saya lalui Ramadhan yang datang tanpa Ijam-sama seperti setahun yang lalu.

2008 - Saya melalui Ramadhan dengan jiwa yang yang haru-biru apabila dimaklumkan tentang kanser yang bersarang dalam tubuh Ijam. Memikirkan masa depan pada ketika itu menyebabkan jiwa saya resah dan gundah. Ada ketikanya rasa putus asa dan kecewa.
Namun, hikmah di sebalik itu - ianya berlaku dalam bulan yang penuh kerahmatan. Lalu Ramadhan 2008 menjadi titik permulaan kebergantungan saya secara total kepada ALlah s.w.t atas semua ketentuan takdirNya.

2009-Ramadhan saya lalui dalam keadaan yang sangat sukar. Hati saya sentiasa berasa walang. Tiada lagi Ijam peneman sahur dan berbuka. Saya hidup dalam kenangan dan kenangan itu sangat menyiksakan. Ramadhan tahun itu saya rasakan seperti satu putaran filem yang menayangkan kenangan Ramadhan saya bersama Ijam. Airmata menjadi peneman setia jiwa yang lara.

2010 - Ramadhan datang lagi. Bohong kalau saya katakan saya tidak merasakan apa yang saya rasa setahun yang lalu. Bezanya kali ini, saya lebih kuat walaupun ada ketikanya saya tewas juga dalam perasaan sendiri. Solat Tarawikh di malam pertama Ramadhan membuatkan kenangan berpuasa bersama Ijam kembali hidup. Dan perasaan saya semakin terdera. Rindu yang tersimpan menyesakkan dada. Hanya Allah yang tahu apa yang saya tanggung.

Ramadhan menyimpan ceritanya yang tersendiri buat saya. Kenangan Ramadhan bersama insan seiistimewa Ijam tidak akan pernah saya lupakan kerana di situ ada kekuatan untuk saya meneruskan kehidupan.

Selamat menjalani ibadah puasa untuk semua. Semoga Ramadhan kali ini lebih mulia dan lebih baik dari yang sebelumnya.




Tuesday, August 3, 2010

Mama Tak Cinta Papa?

"Mama dah tak cinta Papa lagi ke?...Habis kenapa Mama tak recite doa untuk Papa lagi?"


Danish meluahkan apa yang difikirkan kepada saya malam semalam. Ini mungkin disebabkan sudah hampir seminggu dia tak nampak saya bersolat lalu dia merasakan saya tidak berdoa untuk papanya. Bila tidak berdoa, maka tidak sayang atau cinta lagi.
Pertanyaan yang sangat jujur melalui pemerhatian yang tajam.

Bila saya terangkan kenapa saya tidak bersolat, dia persoalkan perkara lain pula. Boleh ke off solat? hehehe..macam mana saya nak jelaskan perkara ni pada budak umur 4 tahun? Budak lelaki pula tu...hmmm...

Tidak dapat saya nyatakan betapa kasih dan sayangnya saya pada Ijam walaupun kita semua tahu cinta pada manusia bukan cinta yang hakiki.
Namun kasih yang ikhlas akan sentiasa berbekas di hati.

Monday, August 2, 2010

P.e.l.a.n.g.i.

Pelangi sering dikaitkan dengan sesuatu yang indah dan menggembirakan. Ia biasanya sebagai kiasan untuk menggambarkan perasaan bahagia dalam diri seseorang dan orang yang membawa kebahagiaan itu istimewa dan indah seperti pelangi.

Saya teringat sebuah lagu tentang pelangi - Pelangi Petang nyayian Allahyarham Sudirman. Semasa di sekolah rendah, lagu itu menjadi siulan ramai. Tidak terkecuali, gadis2 tak cukup umur macam saya walaupun langsung tidak memahami maksud yang tersirat. Yang pasti, ianya sedap untuk didendangkan...

Satu mitos tentang pelangi sewaktu saya kecil - jangan menunjuk jari pada pelangi, nanti tangan kamu akan kudung!. Satu dongeng yang entah apa logiknya tetapi ditakuti dan kami patuh pada amaran itu. Lalu, bila ada pelangi, kami tidak berani menunjuk dengan jari tetapi memuncungkan mulut untuk menunjukkan arah pelangi. Kini, saya tersenyum sendiri bila memikirkan naifnya saya percaya perkara macam tu..namun ianya manis untuk dikenang.

Hakikatnya, pelangi itu memang indah dan keindahan itu patut dinikmati dan dihargai. Walaupun hadirnya cuma seketika, namun kemunculannya sentiasa menceriakan. Indahnya ciptaan Allah sebagai bukti kekuasaanNya.

Saya suka pelangi yang ada dalam hidup saya.... :)