Kematian adalah perkara yang paling hampir dengan diri kita. Saban hari, usia semakin bertambah bermakna semakin hampir kita dengan kematian.
Tazkirah bersama Prof Kamil pagi tadi membicarakan tentang kematian. Kematian merupakan satu 'hadiah' buat manusia. Satu kenyataan yang mungkin akan dianggap 'hadiah gila' oleh sesetengah orang. Namun bila difikirkan semula, ianya sangat benar.
Secara jujurnya, dulu saya sangat jumud dan jahil dengan perkataan mayat, kubur dan juga kematian. Tanah perkuburan saya lihat sebagai tempat yang sangat asing dan kadang kala menakutkan. Terpengaruh dengan cerita2 karut mungkin....Kematian seolah2 berada jauh dari kotak fikiran saya ketika itu..sementelah umur juga masih 'hijau'.
Tanpa disangka Allah jadikan pemergian/kematian Ijam - suami saya sendiri sebagai satu 'hadiah' buat saya. Kematian Ijam menukar pemikiran saya tentang kematian 100%. Tidak mustahil untuk kita mati walaupun umur masih sangat 'hijau'. Kematian Ijam mengubah pandangan dan perasaan saya terhadap tanah perkuburan, batu nisan dan semuanya.
kini saya boleh berada di tanah perkuburan yang luasnya hampir 3 ekar seorang diri tanpa ada rasa takut..kenapa? Pada mulanya kerana rasa kasih saya pada suami yang bersemadi di situ. Bila difikirkan semula, ianya kerana saya sudahpun dihadiahkan oleh Allah dengan suatu pengajaran melalui kematian suami saya sendiri. Kematian adalah sesuatu yang tidak sepatutnya kita elakkan. Malahan perlu dibuat persediaan untuk menunggunya tiba.
Fikiran saya kini tidak terlalu duniawi seperti dulu. Hati juga semakin lembut dan lebih sabar. Lebih tenang menghadapi fitnah dan cerita2 orang. Kematian Ijam membuatkan saya berusaha untuk tidak berterusan mencipta dosa dan mencari amal hatta dalam ruang dan peluang yang paling kecil sekalipun. Adalah tidak mustahil jika esok atau lusa saya yang menyusul pergi pula. Dan saya tidak mahu pergi dengan diri terpalit penuh dosa dan menjadi kebencian orang.
Nyata, kematian adalah satu peringatan yang perlu direnung dengan positif. Siapalah kita untuk menidakkan panggilan dari yang Esa bila sudah sampai masanya. Dia Maha Pencipta dan Maha Berkuasa atas segalanya.
No comments:
Post a Comment