Saya berada di sini semula..KPJ Johor Specialist Hospital. Tempat yang banyak menyimpan kenangan saya bersama Ijam. Saya ke sini semula untuk menziarah sepupu Ijam yang menjalani pembedahan.
4 tahun lalu, hospital ini merupakan rumah kedua saya. Ijam lebih banyak menghabiskan masa di sini berbanding di rumah. Keadaan yang bermula dengan keterpaksaan akhirnya menjadi rutin yang diterima dengan redha dan rela. Kenangan yang tersimpan di sini bukan sedikit. Ianya kekal dan sentiasa menggetar hati.
Melangkah masuk sahaja membuatkan hati saya berdegup laju. Perasaan cemas ke gemuruh saya pun tak pasti. Persekitaran, bau udara dan keadaan dalam hospital ini membuatkan satu-persatu kenangan saya di sini bersama Ijam datang semula.
Saya ke aras ICU. Saya sengaja bersolat di aras ini. Di surau ini saya pernah berbicara dan bermohon dengan Allah. Memohon pertolongan, kekuatan dan kesabaran . Di surau ini saya pernah hamburkan kesedihan saat kehilangan Ijam buat selamanya.
Memandang ke pintu masuk ICU, saya terbayang satu-persatu peristiwa di situ. Tempat saya tidur,tempat saya menunggu Ijam, tempat di mana doktor Razi berterus terang tentang keadaan Ijam. Ianya tempat yang penuh dengan kenangan.
Berada di ruang menunggu di Bilik Pembedahan, sekali lagi kenangan lama datang kembali. Terbayang saat-saat bicara terakhir saya dengan Ijam di bilik OT. Walaupun bilik yang berbeza namun rasanya tetap sama . Saya benar-benar menahan rasa berada di situ. Saya kawal perasaan dan tahan air mata. Sakit dada saya menahan perasaan.
Ya Allah..susahnya nak hilangkan trauma saya pada hospital ini. Perasaan yang sukar untuk saya terangkan. Pengalaman lalu banyak meninggalkan kesan dalam hati. Biar selama bila pun, ianya tetap sama.
Di sini...di hospital ini ada kenangan saya dan Ijam yang tersendiri.
No comments:
Post a Comment