A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Friday, September 24, 2010

BESAR bezanya...

Akal membezakan antara manusia dan haiwan sekaligus menjadikan manusia menjadi makhluk yang paling mulia dan terhormat. Kita akan mampu menggunakan akal dengan waras bila emosi kita stabil dan dalam keadaan biasa-biasa. Namun selalunya kita menjadi 'hilang akal' bila sedang marah, terhina dan tercabar. Dan dalam keadaan itu, kita boleh menjadi orang yang 'luar biasa'.

Ketika sedang marah, lidah dan mulut yang selalunya sopan dan manis akan menjadi terlalu lancang berbicara. Hilang terus pertimbangan dan adab sopan. Terhambur semua kata2 yang mungkin boleh memuaskan hati yang sedang marah. Tidak langsung memikirkan buruk baik dan perasaan orang yang dihambur.

Namun sebenarnya ketika sedang marahlah kita menjadi diri kita yang sebenar. Akhlak baik dan sifat terpuji terpadam hanya dengan satu perasaan marah yang tidak terkawal. Maka rupa dan akhlak sebenar kita terserlah ketika itu. Lihatlah rupa kita di cermin ketika sedang marah, dan kita akan sedar betapa buruknya rupa kita pada waktu itu!

Memang bukan mudah mengawal kemarahan kerana ketika sedang marah seluruh urat saraf kita diresapi dengan hasutan dan bisikan syaitan yang mahukan kita saling sakit menyakiti. Kita boleh menyakiti hati orang lain asalkan hati kita puas dengan marah yang dilepaskan tetapi sakitnya hati dan tergurisnya rasa orang yang dimarah itu akan kekal begitu. Luka itu mungkin boleh sembuh tetapi parutnya kekal - mungkin untuk selamanya.

Berfikir sebelum marah..bolehkah???....







Wednesday, September 15, 2010

Demam Lagi

Semalam saya mula kembali bekerja tetapi saya rasa tak berapa seronok. Kepala saya terasa berat dan badan saya rasa tak sedap. Hati pun rasa malas sangat nak bekerja. Mungkin keadaan kampus yang masih lengang menyebabkan saya rasa begitu. Menjelang tengahari sakit kepala saya semakin menjadi-jadi sehinggakan terasa macam ada batu besar di tengkuk saya. Saya rasa ofis saya sejuk sangat. Sendi-sendi pun terasa lenguh. Saya betul-betul tak larat.
Saya hanya berbaring sementara menunggu waktu berbuka. Saya berbuka dengan segelas air. Tekak saya tak mampu nak terima makanan. Terasa pahit benar. Saya saja check suhu badan. 38.3 darjah celcius-saya demam. Patutlah saya rasa tak sedap badan.

Demam lagi! Seingat saya lebih kurang 2 bulan lepas saya dah demam ni demam lagi. Seminggu sebelum raya saya selsema teruk. Kalau ikutkan sejarah hidup, saya agak payah untuk demam. Kadang-kadang dalam setahun tu saya tak demam langsung. Sekarang ni macam senang sangat sakit. Allah tarik sedikit nikmat kesihatan dari saya agar saya lebih menghargai nikmat yang diberikan. Benar kata orang - Ingat Sihat Sebelum Sakit...


Edisi Kompak..

SYAWAL PERTAMA

Hujan lebat mencurah-curah membuka tirai 1 syawal di Pontian. Hujan yang berterusan dari Subuh hingga hampir ke pukul 10 pagi menyebabkan saya lewat menziarahi pusara Ijam. Jam 12.00 tengahari baru saya dapat menziarahi pusaranya. Keadaan kawasan yang lembab, becak dan lengang membuatkan hati saya agak sayu tapi masih terkawal. Ada ketikanya terlayang juga fikiran saya dengan kenangan kami beraya bersama sebelum ini walaupun sudah 2 tahun saya beraya tanpa Ijam. Kenangan itu akan saya simpan sampai bila-bila.

Petangnya saya ke Kota Tinggi beraya ke rumah pakcik dan makcik Ijam. Mereka satu-satunya keluarga Ijam yang saya ada di bumi Johor. Mereka sekeluarga banyak membantu ketika kami susah dahulu. Jasa dan budi mereka menjaga Ijam dulu tak akan saya lupa sampai bila-bila. InsyaAllah selagi ada upaya saya akan tetap menziarahi mereka setiap kali Hari Raya.

Seorang rakan lama-Fairuz datang berziarah. Kali terakhir kami berjumpa adalah di majlis perkahwinan saya 5 tahun yang lepas. Seronok bercerita dari satu topik ke satu topik sampai tak sedar dah lewat malam. Teringat zaman persekolahan dulu..zaman anak dara sunti meningkat remaja..hehehe.

SYAWAL KEDUA

Rumah Abah kena serbu! Hampir sepanjang hari ini kami adik beradik menjadi penyambut tetamu dan pembuat air juga pencuci pinggan mangkuk sepenuh masa. Hari ini ramai sepupu datang bertandang dan kebetulan pula selepas satu, satu keluarga sepupu datang. Mereka datang secara beramai-ramai sehingga ada yang datang 9 biji kereta sekaligus..rumah Abah yang luas tu pun terasa sempit. Kak Long dan Kak Maz (kakak kedua) tak cukup tangan memasak. Suasana kat rumah tu dah macam pasar borong bila masing-masing bercerita. Hanya bila tiba waktu Asar keadaan terasa agak lega..dan kami pun turut menarik nafas lega!

SYAWAL KETIGA

Kami adik beradik bersiap awal untuk beraya. Kami kena keluar awal sebelum rumah kami kena serbu seperti hari sebelumnya. Hampir semua rumah di kampung tu adalah saudara mara saya tidak kiralah saudara dekat ataupun jauh. Jadi banyak rumah yang kami akan singgah. Seawal jam 9.00 pagi kami dan keluar beraya. Kami pulak serbu rumah orang...

SYAWAL KEEMPAT

Saya balik ke Segamat kerana akan mula bertugas pada hari Selasa. Terasa cepat benar masa berlalu bila tak sedar dah nak balik kerja. Danish tak nak balik sebab sepupu-sepupu dia masih ramai lagi di kampung. Mereka akan balik pada hari Selasa atau Rabu. Danish beri cadangan pada saya agar pindah aje kat kampung. Duduk dengan Atuk. Terang-terang la cadangan Danish ditolak. Hehehe.. Kami selamat tiba di Segamat jam 10.30 malam. Alhamdulillah..
Esok dah mula kerja dah...hmmmm...

Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya

Hari ini hari terakhir saya bekerja sebelum Aidilfitri. Esok InsyaAllah saya akan mula bercuti raya. Kampus pun sudah mula lengang semenjak awal minggu lagi. Dalam situasi begini, mood bekerja seakan merudum. Lagipun ramai kawan-kawan yang sudah pun bercuti raya.

Saya tidak bercuti lama. Cukuplah sehari sebelum dan sehari selepas raya. Bila ditambah dengan cuti Hari Raya kira lama jugalah di kampung. Perjalanan Segamat-Pontian hanya mengambil masa lebih kurang 2 jam. Saya tidak perlukan cuti yang panjang kerana hujung minggu pun boleh balik.

Tahun ini tahun kedua saya mengambil cuti yang sangat minima. Kalau sebelum ini agak panjang juga bercuti raya terutamanya jika tiba giliran balik kampung mentua di Kelantan. Kadang-kadang terbit juga rasa rindu untuk balik kampung jauh-jauh macam dulu. Saya redha dan sedang menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Saya perlu kuat untuk melalui masa hadapan walaupun ada ketikanya kenangan lalu menyebabkan jiwa dan perasaan saya goyah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Semoga Aidilftri ini menjadikan kita lebih dekat kepadaNya, lebih mensyukuri nikmat-nikmatNya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR & BATIN