14 Ramadhan 1434H
Semalam saya dan Danish mendapat jemputan iftar anjuran syarikat HALALPRO Trading & Services. Ianya program berbuka puasa dan program meraikan anak-anak yatim di sekitar kawasan Pontian.
Sebelum ini, hanya sekali kami pernah dijemput ke majlis iftar mahupun sumbangan untuk anak-anak yatim iaitu dalam tahun 2009. Program atas inisiatif Prof Kamil sebagai Pengarah UiTM Johor pada masa itu. Itulah kali pertama dan terakhir kami dijemput untuk program seumpama itu di UiTM Johor.
Pengalaman kali pertama itu menerbitkan 1001 perasaan dalam diri saya. Pada masa itu, Danish baru berusia 3 tahun dan kali pertama menyandang gelaran anak yatim. Apalah sangat yang dia faham. Apa yang pasti, sampai sekarang dia masih ingat sumbangan yang diberikan. Dia akan kata "Atuk Prof bagi kasut raya kat masjid UiTM Mama.."
Tahun ini tahun kelima kami beraya tanpa Ijam. Bila dijemput untuk program sebegitu, saya lebih rasional dan tenang. Itu adalah kenyataan hidup, suka atau tidak saya kena terima dan redha. Jangan banyak bersoal jawab dengan takdir Allah. Lebih baik kalau berfikir dan mencari maksud tersirat di sebalik kejadian itu. Berada di dalam majlis sebegitu membuatkan saya merasa 1000 kali lebih baik berbanding dengan insan lain yang yatim piatu seawal usia 4 tahun. Nenek yang dimamah usia menjadi pengganti ibu dan bapa. Sayu!
Majlis iftar semalam sangat ringkas dan fokus. Tujuan utama adalah majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan. Ianya tiada ucapan berjela-jela. Hanya tazkirah ringkas dan doa iringan. Tetamu kehormat yang dijemput bersama-sama dengan anak-anak yatim. Tiada karpet merah, tiada juadah gred A untuk tetamu kehormat. Mereka tidak membeza-bezakan antara VIP dengan anak-anak yatim.
Senario yang jarang sangat saya jumpa dalam mana-mana majlis iftar kalau ada VIP. Terasa dihargai oleh penganjur. Terasa juga keikhlasan penganjur kepada golongan seperti kami.
Terima kasih kepada En Shamsuddin Jaafar, Pengarah Urusan HALALPRO Trading & Services atas jemputan dan ingatan kepada anak-anak yatim seperti Danish. Semoga rezeki tuan dirahmati dan diberkati Allah sentiasa. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment