A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Thursday, July 23, 2009

Ofis Baru

Bermula dari hari Isnin sampai la hari ini, semua staf pentadbiran sibuk mengangkut barang-barang berpindah ke ofis lama yang dah upgrade. Letih jugak ulang-alik dari tingkat bawah ke atas. Barang-barang aku yang paling banyak rasanya..:).
Banyak dah berubah kat ofis ni. Cuma bilik aku je yang tak berubah, masih macam dulu cuma tukar kaler je. Tapi ada 1 lagi perkara yang tak berubah, LALAT masih banyak macam dulu. Pelik betul tengok lalat ni. Masuk2 je ofis baru, dia pun sama masuk jugak.
Inilah bilik aku yang perlu di 5S kan. Time2 macam ni rasa macam nak import boss library, Pn Maznah Hamid untuk 5Skan bilik aku. Dia kan sifu 5S UiTMJ. Letih aku nak kemas, tapi lebih kepada malas nak kemas sebenarnya. Last2, aku longgok je tepi semua benda. Yang penting ada ruang untuk aku buat keje. Malu gak kalau ada guest masuk, tapi aku control cun je keje dalam bilik yang sepah2 ni. Harap2 diorang faham situasi orang baru pindah..:)



Thursday, July 16, 2009

Orang Baru Lagi


Muhammad Zharif
Tahniah buat Shahnadz (office mate) dan suami, Nik (Staf UiTM Johor jugak) sebab dah dapat baby pada 11/07 yang lalu. Baru dapat gambar baby tu pagi ni. Baby boy jugak, boleh gang dengan Khalid..:)

Monday, July 13, 2009

Harapan

Malam tadi jari manis Danish luka tersepit masa dia sibuk main dengan koleksi kereta dia. Darah mengalir laju, selaju airmata dia. Dalam juga luka kat jari dia tu. Dia pulak tak henti-henti panggil papa dia datang tolong. Aku kelam-kabut dengan darah dia yang menitik-nitik dalam masa yang sama nak pujuk dia jangan panggil-panggil papa. Mulut dia tak henti-henti bertanya kenapa papa tak datang tolong. Selesai aku balut luka dia, dia bertanya lagi kenapa papa tak datang tolong jari dia yang sakit. Tengok muka dia dengan mata yang masih basah buat aku sedih pulak. Bilalah dia nak faham keadaan papa dia sekarang.

Sebelum tidur, dia belek lagi jari dia yang berbalut dan tiba-tiba dia menangis lagi sambil panggil papanya. Aku tahan-tahan air mata supaya jangan jatuh. Aku pujuk dia supaya tidur dan dia masih sempat bertanya "Nanti Papa datang tak kalau adik sleep?". Aku angguk kepala je untuk sedapkan hati dia. Akhirnya dia lena dengan seribu harapan.

Friday, July 10, 2009

50

Hari ini hari ke 50 pemergian Ijam. Pejam celik pejam celik dah 50 hari dia tinggalkan aku dan Danish. Walaupun dah 50 hari, tapi kenangan bersama dia masih segar dalam ingatan. Masih terbayang saat-saat terakhir aku dengannya. Danish pulak, dua tiga hari kebelakangan ini dia selalu cakap dia rindukan papanya.
Sekejap tadi Ustaz Lokman datang ke ofis. Bila Ustaz Lokman bercerita tentang pengalaman kehilangan anak bongsunya baru-baru ini, aku seakan dapat merasakan apa yang dilaluinya. Bagaimana perasaannya ketika menghadapi insan tersayang yang sedang nazak. Serta-merta aku jadi sebak dan sayu terkenangkan Ijam. Aku masih belum boleh bercerita tentang Ijam dengan tenang. Aku perlukan sedikit masa untuk jadi lebih kuat dan tabah.

Kepada Ustaz Lokman, takziah atas kehilangan anak tersayang. Al-Fatihah.

Wednesday, July 8, 2009

Orang Baru


Hero khalid
Awal pagi aku dapat berita dari Khalid yang isterinya dah selamat bersalin. Dapat baby boy. Aku dapat bayangkan kegembiraan Khalid seperti mana kegembiran Ijam menyambut Danish 3 tahun lepas. Anak adalah satu anugerah yang amat bernilai dan satu amanah yang perlu dipelihara sebaik mungkin.
Kepada Khalid & Laila, tahniah dengan kehadiran orang baru. Semoga kebahagiaan ini berkekalan selamanya.

Wednesday, July 1, 2009

Bumi Kelantan

Hari Jumaat sampai Ahad lepas, saya berada di Kelantan, tanah kelahiran suami. Berada di Kelantan seolah-olah membuka semula semua kenangan saya bersama suami. Terlalu banyak kenangan saya bersama dia di sana. Masih terbayang semua kenangan balik kampung bersama. Sepanjang usia perkahwinan kami (4 tahun), rasanya adalah 6 kali kami balik ke Kelantan. Faktor masa dan jarak juga karier sedikit sebanyak menghalang kami untuk balik dengan kerap. Setiap kali balik kampung, Ijam akan menikmati perjalanan dengan sebaik mungkin. Mesti ada saja cerita dia tentang setiap tempat yang kami lewati. Jalan tepi pantai adalah laluan kesukaannya kerana pemandangan laut yang cukup cantik. Kami akan berhenti menikmati keropok lekor dan air kelapa muda di tepi pantai. Satu aktiviti yang mesti kami lakukan setiap kali dalam perjalanan pulang ke Kelantan. Dia akan gunakan peluang ini untuk menikmati semua makanan kesukaannya. Kadang-kadang dia dah ada menu untuk sepanjang tempoh kat kampung. Memang jadi macam budak-budak dia bila balik kampungnya..:)
Kenangan itu memang susah untuk saya lupakan. Sepanjang perjalanan ke Kelantan, kenangan itu bermain-main di mata saya. Macam filem yang diulang tayang. Terngiang-ngiang cerita dia tentang tempat2 tersebut yang selalu dia ceritakan pada saya. Setiap kali sampai di tempat-tempat yang kami biasa berhenti ataupun ternampak makanan-makanan yang dia suka, hati saya terusik. Saya masih lagi gagal mengajar hati untuk tabah. Air mata saya masih lagi mudah jatuh bila bercakap atau teringat tentang suami. Dia orang pertama 'memperkenalkan' saya dengan Kelantan. Dari dia saya belajar adat, budaya dan cara hidup orang Kelantan.
Memang parah bila hidup dalam kenangan. Itu saja yang boleh dikenang. Setiap kali kenangan itu datang, rindu akan turut serta yang menyebabkan hati akan luluh. Rindu membuatkan jiwa saya menjadi rapuh dan air mata adalah luahan rasa tanpa suara.