A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Wednesday, May 22, 2013

Kini 4 Tahun

22 Mei 2009 - 22 Mei 2013

Bismillahirrahmanirrahim....

Tik tok tik tok...masa berlalu tanpa menunggu
Tanpa sedar sudah empat tahun masa berlalu
Empat tahun dulu, di pagi hari Jumaat, saya pasrah dengan apa jua yang bakal terjadi
Saat dikhabarkan masa awak semakin suntuk, masa untuk awak pulang semakin hampir
Saya tidak tahu apa yang perlu saya kata
Saya gagahkan jiwa, duhai airmata janganlah kau jatuh
Saya perlu redha untuk mudahkan 'perjalanan' awak
Bertemu dengan Yang Maha Esa

Saya redha andai itu takdirNya
Saya redha andai itu yang terbaik untuk awak
Sememangnya itu doa saya padaNya selalu
Doa agar Allah berikan yang terbaik untuk awak
Hatta sekalipun saya akan kehilangan awak untuk selamanya
Andai itu yang terbaik, saya redha dan pasrah
Saya yakin DIA Maha Mengetahui 

4 tahun sudah saya 'pulangkan' awak pada yang berhak mutlak
4 tahun saya menjadi papa dan mama pada buah hati kita..
Perjalanan hidup saya menjadi tempang, langkah kaki terasa sumbang
Hampir juga saya rebah tersungkur dan mengalah
Terasa sungguh kehilangan awak
Bukan mudah untuk saya lalui semuanya 
Berjuang melawan hati dan perasaan
Menahan rindu yang menyesakkan dada
Meladeni pertanyaan anak kita tentang awak
Dia anak kecil yang tidak mengerti apa-apa tentang pemergian awak
Pergi yang tak akan kembali..untuk selamanya

Saya kini semakin terbuka dengan takdir saya
Ada ketikanya kata-kata dan perlakuan sekeliling membuatkan saya rendah diri
Berjauh hati dan terhiris juga perasaan
Ada waktunya saya merasa terasing dari orang lain
Namun saya tempuh jua itu semua
Saya tiada pilihan lain
Air mata usah dikira..bisa tumpah bila-bila masa 
Tatkala terkenang dan menyingkap kisah kita

Biarpun sudah 4 tahun lamanya awak tinggalkan saya
Namun tidak satu pun tentang awak yang saya lupa
Saya masih mampu mengingati kata-kata yang pernah awak ucap pada saya
Gurau senda awak,,,ketawa awak...suara awak
Semuanya masih kekal lekat dalam ingatan saya
Banyak 'diri awak' dalam diri anak kita
Satu-satunya peninggalan awak buat saya yang paling berharga

Walaupun saya semakin boleh menerima ketiadaan awak
Tidak bermakna saya semakin melupakan awak
Awak lelaki yang memartabatkan saya menjadi isteri dan ibu
Awak lelaki yang menerima saya seadanya
Kelemahan saya mengatasi kelebihan, namun awak tetap terima
Terima kasih saya pada awak tak akan pernah cukup untuk itu.

Doa saya dan adik sentiasa mengiringi awak 
Dan InsyaAllah ianya akan terus begitu dan berpanjangan
Kasih sayang dan kebaikan awak pada saya dan adik akan tetap saya kenang
Tidak ternilai dengan apa jua pun

Saya berharap sangat untuk dapat sampaikan rasa hati saya pada awak
Untuk dengar suara awak lagi
Untuk dapat dipinjamkan awak lagi
Tetapi mana mungkin ianya berlaku
Mengenangkan kenyataan itu, sesak dada dan nafas saya

Ya Allah Ya Rabbi...Yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih
Ampunkan dosa-dosa suamiku Ridzam bin Zainol
Rahmati dan redhailah dia Ya Allah
Tempatkan suami di dalam golongan yang Engkau kasihi dan rahmati
Berikan suamiku kerehatan yang nyaman
Luaskan, lapangkan dan terangilah kuburnya Ya Allah
Masukkan suamiku ke dalam Syurgamu dengan rahmatMu Ya Allah
Masukkan suamiku ke dalam syurgaMu tanpa perlu dihisab yang Allah..
Temukanlah kami semula di dalam syurgamu nanti Ya Allah..
Aku bermohon padaMu Ya Allah
Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun..

Amin Ya Rabbal Alamin..

catatan dari hati untuk satu-satunya suami saya : Allahyarham RIDZAM BIN ZAINOL


1 comment:

Isriah said...

sedihnya baca cerita ni...saya turut simpati. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan org yg beriman.