Semalam Danish teruja sangat bila saya kata nak bawa dia main futsal. Dia bersiap tanpa perlu disuruh. Tak sampai 10 minit dia dah siap dengan rambut terpacak. Sangat luar biasa!
Bagi sesetengah kanak-kanak, bermain bola dengan papa mereka adalah perkara biasa tetapi tidak bagi Danish. Dia tiada peluang begitu sebab dia tiada papa. Dia tak ada pengalaman dan kenangan bermain bola atau memancing atau bermain layang-layang dengan papa seperti kanak-kanak lain. Ianya sesuatu yang tak pernah berlaku dalam hidup dia.
Pertama kali ke gelanggang futsal, dengan situasi permainan yang sebenar buat dia gembira, sampai terlupa yang dia ada homework. Itu belum lagi saya bawa dia ke stadium. Entah macam mana agaknya reaksi dia. Dia memang minat bola-tidak seperti Ijam yang tak minat langsung dengan bola. Sesuatu yang pelik bagi seorang lelaki...:)
Saya yakin kenangan itu akan kekal dalam ingatan dia. Tercatat dalam sejarah zaman kanak-kanak dia. Allah berikan peluang untuk dia merasai pengalaman itu walaupun bukan dengan papa dia. Terima kasih kerana menciptakan suatu kenangan untuk anak saya.
Sebelum tidur dia masih tak habis bercerita pasal pengalaman pertama dia. Yang buat saya terdiam bila dia kata, "kalau papa ada, bolehlah adik selalu main football kat padang". Kata-kata yang bersahaja tapi satu cetusan rasa yang jujur.
Kata-kata itu buat saya sebak.
No comments:
Post a Comment