Hari ini genap satu bulan Ijam pergi tinggalkan aku dan Danish untuk selamanya. (Mengikut bulan Islam, genap pada 27 Jamadilakhir). Kenangan kali terakhir berbicara dengan dia dan saat-saat terakhir dengannya masih lagi jelas terbayang. Rasa macam semalam je peristiwa tu berlaku. Memang susah untuk aku lupakan detik-detik dua minggu terakhir aku bersamanya. Kami masih bergurau dan dia terlalu manja dengan aku pada waktu itu. Bila dikenang-kenang terasa sesak nafas. Fikiran berserabut memikirkan masa depan yang entah macam mana, dugaan apa lagi yang akan datang. Kadang-kadang terasa lemah sekali untuk melangkah meniti hari esok.
Selama sebulan jugalah aku memendam perasaan seorang diri. Ada kalanya hati aku terguris, maruah tercalar dengan kata-kata orang sekeliling. Mungkin mereka tak berniat untuk menyakitkan hati, tapi perasaan aku yang agak sensitif sekarang membuatkan aku begitu mudah terasa. Semuanya aku lepaskan bila aku berada di makamnya setiap hujung minggu.
Kalau dulu, aku tak sabar nak menunggu hari Jumaat kerana aku akan ke Kota Tinggi bertemu dengannya. Hari Rabu, aku akan ke Johor Bahru, bertemu dengannya semasa sesi rawatan kimoterapi. Hampir tiga bulan rutin itu aku lalui dan tidak terasa langsung ianya satu beban kerana perasaan teruja untuk bertemu dengannya mengatasi segala-segalanya. Kini rutin aku berubah. Setiap hujung minggu aku akan balik ke Pontian untuk menziarahi pusaranya, tapi aku rasa tenang dan damai berada dekat dengannya walaupun yang ada hanya batu nisan yang bisu. Biarlah orang kata doa boleh diutus walau tidak menziarahi pusara, namun bagi aku menziarahinya setiap minggu bukti kasih dan sayang aku yang masih tidak berubah sehingga kini. Bukti nilai kasih dan sayang yang begitu menebal dalam hati. Ia juga cara terbaik untuk aku melepaskan kerinduan yang cukup sarat untuk ditanggung.
1 comment:
Jaja
Emak kak ani pun begitu, setiap minggu, diziarahi kubur arwah abah. Kubur abah dan kak long di Serendah sentiasa bersih, rumput tak pernah naik tinggi, rimbunan bunga kecil berwarna ungu di atas kubur sentiasa dirapi. Kalau dia demam, akan diupah orang bersihkan kawasan kubur.
Cinta isteri pada suami...
Post a Comment