Hari ini adalah hari lahir Ijam. Hari lahirnya yang ke-31. Hari lahirnya tetap aku sambut walaupun dia jauh di alam lain. Tahlil dan bacaan Yaasin aku hadiahkan untuknya di awal pagi ini. Tanda kasih dan sayang aku padanya walaupun dunia kami berbeza. Ketika itu, aku terasa benar ketiadaannya dan hati aku semakin sarat dengan rindu yang menggunung. Aku sampaikan 'hadiah' aku padanya dalam sendu yang panjang.
24 Disember setahun yang lalu....
Kali terakhir aku dapat meraikan hari lahir suamiku. Tika itu, dia sedang menanggung kesakitan yang semakin serius. Menanggung sakit tulang belakang sepanjang masa dan kesukaran untuk tidur menjadi Ijam agak sensitif dan mudah marah. Kesakitan dan tekanan emosi yang dialami menjadikan dia terlupa hari lahirnya sendiri. Mungkin juga ianya dah tak penting lagi pada dia.
Tepat jam 12.00 malam menjelang 24 Disember, aku hulurkan hadiah hari lahirnya berserta ucapan kasih dan sayang aku padanya. Dia memang terkejut sangat masa tu. Yelah, dia pun tak ingat yang hari itu adalah hari lahir dia.
Aku buang jauh2 rasa sedih melihat keadaan dia. Aku nak dia gembira pada hari tersebut.
Dia buka hadiah yang aku berikan..hadiah yang memang dia inginkan sebelum ini tetapi dia simpan keinginan tu kerana ada keperluan2 lain yang perlu didahulukan. "terima kasih yang...tapi mahal ni. Kita kan nak pakai banyak duit sekarang..." Itulah kata2 dia yang aku ingat sampai sekarang. Dia masih mementingkan keperluan aku dan Danish walaupun ketika itu, kegembiraan dirinya yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Sebenarnya hadiah tu bukanlah mewah sangat. Tak setanding pun dengan kasih sayang yang dia curahkan untuk aku dan Danish. Ianya cuma tanda terima kasih aku padanya kerana dia sudi menjadikan aku seorang isteri dan ibu. Menerima aku dengan segala macam kekurangan.
Kenangan ini akan tetap tersimpan dalam memori aku sampai bila-bila. Tak mungkin ianya akan dapat diulang kembali.
Selamat Hari Lahir Be....
No comments:
Post a Comment