Anak yatim adalah golongan yang sentiasa perlu diberi perlindungan dan perhatian. Seruan tentang itu banyak disebut di dalam Al-Quran. Bila disebut anak yatim, pasti terlintas perasaan kasihan kerana mereka kehilangan ibu/ayah dalam usia yang masih kecil. Tak pernah terlintas dalam fikiran aku yang Danish akan termasuk dalam golongan ini dalam usia dia yang baru 3 tahun.
Program Kenangi Mereka Sayangi Mereka adalah satu program tahunan anjuran PEWANI UiTM Johor. Program yang mengkespresikan keprihatinan dan perhatian kepada anak-anak yang kurang bernasib baik. Tahun ini, Danish tersenarai sebagai anak-anak yatim yang menerima sumbangan.
Semalam diadakan program penyampaian sumbangan juga berbuka puasa bersama Pengarah UiTM Johor. Aku rasa sebak dan sayu yang bukan sedikit bila nama Danish dipanggil untuk menerima sepasang kasut raya juga duit raya. Aku tak boleh kawal perasaan bila mengenangkan Danish yang kini anak yatim dan status itu akan kekal sampai bila-bila. Dalam masa yang sama aku terkenangkan Ijam dan satu-satu air mata aku jatuh. Danish teruja sangat nak pakai kasut raya tu. "Kasut BOSS Mama bagi" katanya.
Terima kasih kepada PEWANI UiTM Johor yang prihatin. Bukan semua orang mampu mengenang dan menyayangi anak-anak yatim. Sumbangan yang diberikan bukan ukurannya. Apa yang lebih penting adalah hati dan perasaan yang tulus dan ikhlas menyayangi anak-anak ini. Semoga kalian diberikan balasan baik atas segala kebaikan yang telah kalian lakukan.
1 comment:
sentuhan kasih dan belaian mesra masyarakat lebih diperlukan oleh anak-anak kecil spt ini.. semoga tabah hendaknya.
Post a Comment