A Gift from Allah

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Monday, May 28, 2012

@Kota Bharu....

Saya berada di Kota Bharu..balik menziarahi keluarga Ijam. 2 tahun saya tak balik ke sini.
Berdebar juga bimbang tak jumpa rumah Ma..:)

Alhamdulillah..10 jam memandu saya selamat sampai. Lenguh kaki dan tangan drive lama sangat. Selalu saya jadi sleeping co-pilot tapi bila jadi driver ni boleh plak mata ni bertahan..

Saya akan berada di sini untuk 2 hari lagi..berada di sini membuatkan memori lalu datang kembali.
Rindu dan ingatan pada Ijam datang lagi..:(

p/s: will update entry very soon...

Tuesday, May 22, 2012

Kini...3 tahun

Hari ini genap 3 tahun awak tinggalkan saya dan adik. Pada tarikh ini saya kehilangan seseorang yang sangat dekat dengan jiwa. Hilang tempat bergantung. Separuh jiwa saya pergi bersama awak.


Masih jelas semua yang berlaku dalam hidup kita pada tarikh ini. Ianya bagai baru semalam berlaku. Setiap kali saya teringat waktu-waktu terakhir kita bersama, airmata saya memang tak tertahan. Ianya sangat menyentuh jiwa. Ianya kenangan terakhir antara kita. Awak tinggalkan saya tanpa pesan.


Itu kisah kita 3 tahun yang lepas. Hari ini saya teruskan kehidupan dengan adik. Dia tempat saya lepaskan kerinduan pada awak. Iras wajah dia saling tak tumpah macam awak. Perangai pun tak jauh berbeza. Maha Suci Allah..dia tetap pinjamkan awak dalam tubuh Danish.

3 tahun saya kuatkan hati untuk berhadapan dengan masyarakat sekeliling. Beratnya status yang saya bawa sangat terasa Be...hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa. Saya cukup tak suka ke majlis keramaian kerana rasa canggung bila awak takde. Dalam tempoh 3 tahun, status saya pernah dijadikan bahan gurauan, cemuhan orang. Bukan sekali tetapi kerap kali. Rendahnya orang macam saya ni. Ada ketikanya saya nak juga bertanya pada mereka, yakin ke mereka yang esok mereka masih lagi bergelar isteri orang dan anak mereka bukan anak yatim? Yakin ke mereka yang esok isteri mereka tak dapat status macam saya? Tetapi saya masih waras..tak terkeluar kata-kata itu dari mulut saya..saya mohon pada Allah jauhkan saya dari mereka-mereka yang zalim.

Sudah 3 tahun tapi sehingga hari ini saya sangat tak suka mengisi borang yang ada butiran suami/pasangan. Saya cukup benci dengan soal selidik yang bertanya tentang status. Saya jadi malas nak isi borang yang bertanyakan butiran papa adik. Saya agak emosi tentang itu. Saya bukan menolak kenyataan tetapi ianya satu fakta yang sangat pahit dan menyakitkan. Saya redha dengan takdir kita..redha yang ikhlas.

Saya tak tahu berapa jauh lagi perjalanan saya tanpa awak Be..dulu saya selalu terfikir kalau Allah panjangkan umur saya sampai 60 tahun, bermakna 30 tahun saya hidup tanpa awak. Lamanya saya tak boleh jumpa awak..Macam tak logik..itu tak mungkin. Kecelaruan emosi menyebabkan akal saya singkat..susah saya nak terima kenyataan Be..

Biarlah 3 tahun hatta 30 tahun sekalipun, kenangan bersama awak tetap kekal dalam kotak memori saya. Awak lelaki terpuji dalam hidup saya. Kasih sayang, kesetiaan, pengorbanan awak untuk saya dan adik takkan dapat saya lupa. Semoga Allah berikan balasan kebaikan kepada awak sebagaimana kebaikan yang awak buat pada saya dan adik. Saya tak perlu lelaki paling kacak, paling kaya dalam hidup saya. Awak sempurna di mata dan hati saya.

Ya Allah..ampunkan dosa suamiku RIDZAM BIN ZAINOL..tempatkan dia di dalam syurgaMu tanpa perlu dihisab Ya Allah...Masukkan dia ke dalam syurgaMu dengan redhaMu Ya Allah..Masukkan dia dalam golongan orang-orang yang Kau redhai..Sesungguhnya Kaulah yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kau jugalah yang Maha Pengampun..Amin..

Thursday, May 17, 2012

Hari Guru

Semalam adalah Hari Guru.

Zaman sekolah dulu, Hari Guru adalah hari yang boleh buat saya susah hati. Saya susah hati sebab memikirkan apa hadiah yang nak saya berikan pada cikgu nanti. Nak beli duit takde. Duit poket pun cukup-cukup untuk makan. Masa tu la pusing satu umah tengok apa barang yang boleh diambil untuk dijadikan hadiah.
Hasilnya, kadang-kadang gelas sebiji ataupun sebuku sabun mandi ataupun setin sardin jadi hadiah cikgu. Kadang-kadang mak tau tahu pun yang barang dia dah dikorbankan. Sedar-sedar dah takde.
Itu cerita zaman kesusahan yang mana kami sembilan beradik membesar bagaikan anak tangga. Umur kami hanya selang 2/3 tahun. Tak kebulur pun dah cukup baik ini kan pula nak sediakan hadiah untuk cikgu. Memang tak masuk dalam senarai perbelanjaan mak.

Keadaan sudah berubah. Saya mampu menyediakan kehidupan yang lebih baik untuk Danish. Saya mampu bawa dia ke kedai pilih sendiri hadiah untuk ustazahnya. Memang dia boleh memilih tetapi masih saya tetapkan had harga. Bukan kedekut ataupun berkira tetapi saya mahu dia hidup bersederhana. Ramai sangat orang di kedai tersebut. Saya kira semuanya dengan tujuan yang sama-mencari hadiah untuk guru.

Beruntungnya anak-anak sekarang. Tak payah runsing tentang hadiah untuk guru. Ibu bapa tahu apa yang mereka perlukan. Tak perlu cari sabun buku atau setin sardin untuk dijadikan hadiah. Guru-guru sekarang pun tak pernah dapat hadiah macam tu agaknya. Kalau Danish tahu cerita saya hadiahkan sebuku sabun mandi dulu-dulu mesti dia gelak sakan agaknya...:)

Selamat Hari Guru pada semua guru di Malayisa. Semoga kerjaya anda diterima sebagai ibadah dan menjadi amal kebaikan yang berterusan.

Amin..